KL Towerthon kembali selepas 2 tahun dihentikan

KL Towerthon kembali selepas 2 tahun dihentikan

KUALA LUMPUR,. Cabaran Towerthon Antarabangsa Menara Kuala Lumpur (KL) akan diadakan semula pada 14 Ogos, selepas dua tahun dihentikan berikutan pandemik COVID-19.

Pengasas dan Pengarah Urusan JomRun Chang Yi Hern berkata kira-kira 2,000 warga asing dijangka menyertai perlumbaan itu untuk mendaki 2,058 anak tangga pada ketinggian 288 meter dari aras bumi.

Beliau berkata setakat ini hampir 1,000 peserta telah mendaftar untuk perlumbaan itu dengan mematuhi peraturan Persatuan Larian Menara Dunia.

“Kami gembira melihat majoriti peserta kami adalah rakyat Malaysia serta warga asing dari Singapura, Brazil, Jepun dan Jerman. Peserta paling tua berumur 73 tahun dan termuda berusia 11 tahun.

“Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan pelari dan mengelakkan sebarang kecederaan. Pelari akan berlari seorang demi seorang dan pemenang akan berdasarkan masa yang diambil untuk melengkapkan cabaran,” katanya semasa pelancaran Cabaran Towerthon itu di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melihat acara itu sebagai satu daripada cara untk memupuk semangat kebangsaan dalam kalangan peminat sukan.

“Sukan melibatkan pelbagai kaum daripada penganjur sehinggalah peserta, antara cara untuk kita memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Setiap peserta pada perlumbaan tahun ini bakal menerima sehelai jersi, bib perlumbaan dengan cip masa RFID, E-Sijil, insurans kemalangan diri, minuman ringan dan pingat penyudah.

Pendaftaran dibuka sehingga 12 Ogos dengan pendaftaran awal RM80 untuk rakyat Malaysia dan RM180 untuk warganegara asing.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This