Kongres AMK kecoh, bekas pengerusi tetap dilarang masuk

Kongres AMK kecoh, bekas pengerusi tetap dilarang masuk

AYER KEROH,. Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 pagi ini dicemari dengan insiden pergaduhan apabila pihak keselamatan cuba menghalang bekas Pengerusi Tetap AMK Mizan Adli Md Noor dari memasuki tempat persidangan.

Selain itu, pihak keselamatan turut cuba menghalang Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Dr Afif Bahardin dari memasuki kawasan berkenaan, menyebabkan berlakunya pertembungan dengan penyokong individu berkenaan.

Ketika insiden itu berlaku, wakil Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin sedang mengumumkan pelantikan baharu bagi jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap ekoran Mizan dan Mohd Ramly Ahmad telah dilucutkan dari jawatan berkenaan.

Sebelum ini Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, yang mendakwa kedua-dua mereka disingkirkan dari jawatan masing-masing kerana usia melebihi 35 tahun.

Ahli Parlimen Johor Bahru dilaporkan berkata, ia sejajar perlembagaan parti yang menetapkan anggota sayap itu yang berumur di bawah 35 tahun.

Selepas keadaan kembali reda, Shamsul Iskandar, yang merupakan bekas ketua pemuda AMK, mengumumkan pelantikan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Melaka, Rashid Abu Bakar, sebagai Pengerusi Tetap baharu.

Selain itu, Setiausaha AMK Negeri Kedah, Wan Mohamad Syahezral Wan Shahidan, pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Tetap bagi sesi ini.

CATEGORIES
TAGS
Share This