Konstabel Muhamad Syafiq kebanggaan keluarga – Abang

Konstabel Muhamad Syafiq kebanggaan keluarga – Abang

JOHOR BHARU,. “Dia membanggakan keluarga, kami reda dengan pemergiannya,” itu luahan abang kepada Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini awal pagi Jumaat.

Abdul Salam Ahmad Said, 33, yang ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail, di sini berkata, adiknya itu memang bercita-cita untuk menjadi anggota polis dan mereka sekeluarga memberikan sokongan terhadap perkara itu.

Abdul Salam yang juga anggota polis berkhidmat di Kuala Lumpur berkata, dia sendiri sanggup menemani Muhamad Syafiq bermula daripada proses permohonan sehingga bergelar anggota polis.

“Dia (Muhamad Syafiq) memang minta mahu jadi polis dan saya sendiri bawa dia untuk temu duga dan proses seterusnya,” katanya yang memaklumkan kali terakhir berjumpa adiknya pada Januari lepas.

Abdul Salam berkata, walaupun kejadian yang menimpa anak ketujuh daripada lapan beradik itu memberi kesan kepada keluarga, mereka berbangga apabila adiknya itu dapat berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia dalam tempoh kira-kira dua tahun.

Dalam kejadian serangan yang berlaku pada 2.45 pagi tadi, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun serta suspek yang berumur 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.

Suspek lelaki yang ditembak mati itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah dan serbuan telah dilakukan ke rumah suspek di Ulu Tiram yang membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berumur 19 hingga 62 tahun.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This