Lawatan Jokowi ke Krayan bakal membawa perubahan

Lawatan Jokowi ke Krayan bakal membawa perubahan

MIRI: Kunjungan Presiden Republik Indonesia Joko Widodo (Jokowi) ke Krayan, Nunukan Kalimantan Utara (Kaltara) baru-baru ini, bakal mengubah wajah wilayah itu yang sudah lama ketinggalan.

Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kalimantan Utara, Marli Kamis berkata lawatan itu adalah suatu mimpi yang menjadi kenyataan bagi masyarakat Krayan yang majoriti adalah kaum Lun Dayeh.

Beliau yang juga Ketua Lembaga Adat Dayak Lun Dayeh Kalimantan Utara (LADLWKU) memberitahu, masyarakat di situ berasa amat terharu kerana pemimpin nombor satu republik rela mengunjungi daerah perbatasan yang terpinggir dan terpencil.

“Saya mewakili masyarakat dayak Lun Dayeh Krayan menjamin kehadiran bapak Presiden ke sini sudah tentu membawa perubahan dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi masyarakat Krayan selama 74 tahun Indonesia merdeka.”

“Ini umpama syurga jatuh di wilayah kami. Beliau (Jokowi) menjanjikan bahawa jalan Krayan ke Malinau siap diturap pada tahun 2021,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Marli menambah, justeru sebelum jalan transkalimantan itu selesai, masyarakat Krayan harus mempersiap diri bagi menghadapi perubahan yang datang bersama pembangunan.

“Jangan sampai menjadi penonton dan tamu di rumah sendiri. Krayan harus maju, bangkit dan sejahtera,” katanya.

Sementara itu ketibaan Presiden Jokowi di sana semalam disambut dengan penuh adat istiadat kaum Lun Dayeh dan diberikan anugerah adat tertinggi dalam masyarakat itu.

Hadir sama Ketua Adat Forum Masyarakat Adat Dataran Tinggi Borneo (FORMADAT) Indonesia Lewi Gala.

Beliau meluangkan masa bertemu dengan ketua masyarakat Kenyah dan 11 suku kaum di wilayah tersebut.

Kemudian Presiden Jokowi meluangkan masa mengunjungi perbatasan Nunukan, Indonesia – Sarawak, Malaysia di Krayan Kalimantan Utara menggunakan motosikal.

CATEGORIES
Share This