Lelaki ditahan polis selepas viral pandu secara berbahaya

Lelaki ditahan polis selepas viral pandu secara berbahaya

IPOH,. Seorang lelaki ditahan setelah disyaki memandu secara melulu hingga boleh membahayakan pengguna lain sehingga tular menerusi rakaman sebuah video dalam satu kejadian di Jalan Beruas-Parit-Ipoh semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berumur 23 tahun yang memandu kereta berwarna coklat itu ditahan di sebuah rumah di Pusing, Batu Gajah selepas polis berjaya mengesannya pada hari yang sama.

“Lelaki itu mengaku memandu kenderaan tersebut kira-kira 3.40 petang sebelum tular di media sosial menerusi sebuah video.

“Kenderaan tersebut dirampas dan lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.

Video berdurasi kira-kira seminit itu antara lain menunjukkan suspek memotong barisan dan garisan berkembar di kawasan Pekan Parit hingga boleh membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna lain.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This