Libatkan anak muda dalam hala tuju PTPTN – Bersatu Sabah
SANDAKAN,. Kerajaan, kususnya Kementerian Pendidikan dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disaran mewujudkan mekanisme lebih menyeluruh untuk memberi ruang dan peluang kepada golongan muda untuk terlibat dalam proses penentuan dasar dan hala tuju PTPTN.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pendekatan itu penting untuk memastikan PTPTN dapat digerakkan pada landasan yang tepat dengan memahami aspirasi generasi muda.
Beliau turut menekankan kepentingan kefahaman dan kerjasama semua pihak bagi memastikan PTPTN terus berkembang dan bergerak dengan dana yang stabil dan mencukupi.
“Kerjasama ini termasuk para peminjam agar mereka melaksanakan tanggungjawab pembayaran bagi memastikan dana terus tersedia bagi pelajar baharu yang memerlukan sumber pembiayaan pendidikan,”katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.
Di samping itu, katanya, perlu dipertimbangkan kewujudan pilihan pelan pembayaran yang lebih feksibel dengan mengambil kira situasi peminjam.
“PTPTN adalah salah satu institusi yang amat penting dalam menjayakan agenda ‘Pendidikan Untuk Semua’ yang mana tidak ada anak watan terhalang untuk melanjutkan pendidikan kerana faktor kekangan kewangan,” katanya.
— BERNAMA