Masjid, surau Wilayah Persekutuan sumbang barang asas berjumlah RM965,918

Masjid, surau Wilayah Persekutuan sumbang barang asas berjumlah RM965,918

KUALA LUMPUR, 7 April — Gabungan Masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan telah menyumbang barangan keperluan asas berjumlah RM965,918 melibatkan 15,946 penerima di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam kenyataan memaklumkan sejak 18 Mac lepas, Gabungan Masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan terlibat dalam menyantuni masyarakat sekitar termasuk bukan Islam yang memerlukan dan terkesan akibat penularan COVID-19.

“Surau Madrasah Taman Melati turut turun padang menghulurkan bantuan berupa barangan seperti beras, minyak, gula, tepung, susu pekat dan lain-lain kepada keluarga bukan Islam yang merupakan penduduk di kawasan kejiranan surau berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, di bawah inisiatif JAWI Food Bank, #Musaadah COVID-19, sumbangan turut diterima daripada penyumbang dalam kalangan bukan Islam untuk diagihkan kepada penerima.

“Semua usaha ini adalah tanda keprihatinan untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi meringankan beban rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi getir tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan budaya,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Bank Rakyat menyumbangkan 10,000 helai baju hujan pakai buang kepada Polis Kuala Lumpur khusus bagi kegunaan anggota polis semasa bertugas sepanjang tempoh PKP.

“Sumbangan ini adalah sejajar dengan komitmen Bank Rakyat dalam menghargai pengorbanan dan penat lelah kesemua pegawai dan anggota polis yang terlibat dengan Op COVID-19, ” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Datuk Rosman Mohamed dalam satu kenyataan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This