MATRADE anjur mesyuarat perdagangan dalam talian rentas sempadan

MATRADE anjur mesyuarat perdagangan dalam talian rentas sempadan

BANGKOK,. Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Bangkok menganjurkan mesyuarat dalam talian antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dengan syarikat Thailand untuk mengakses pasaran e-dagang baharu.

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Bangkok Norman Dzulkarnain Nasri berkata mesyuarat itu yang sedang berlangsung sekarang sehingga 31 Ogos disasarkan kepada kedua-dua segmen e-dagang rentas sempadan perniagaan kepada pengguna (B2C) dan juga perniagaan kepada perniagaan (B2B) antara penjual Malaysia dan syarikat Thailand.

“Menerusi platform B2B, kita boleh mempermudahkan lebih banyak inisiatif penyumberan bagi produk dan perkhidmatan Malaysia dalam kalangan perniagaan.

“PKS Malaysia dan syarikat Thailand boleh memanfaatkan platform e-dagang untuk mengakses pasaran baharu selain memulakan usaha niaga kerjasama dan libat urus serantau dengan rakan sejawat mereka dari ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Norman juga berkata mesyuarat itu adalah bersempena dengan Hari Jualan Dalam Talian ASEAN 2021 (AOSD 2021), yang diadakan secara bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN untuk menjana permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan yang terhalang akibat pandemik COVID-19.

AOSD tahun ini dihoskan oleh Singapura, Vietnam dan Brunei selepas kejayaan edisi sulung AOSD pada 2020, kata MATRADE dalam kenyataan itu.

“Ia diadakan pada Ogos serentak dengan Hari ASEAN, yang disambut setiap tahun pada 8 Ogos.

“Menerusi AOSD 2021, kesemua 10 negara anggota ASEAN akan menganjurkan acara membeli belah dalam talian menerusi portal khusus yang boleh diakses di seluruh dunia.

“Portal itu membolehkan negara-negara anggota mengetengahkan perniagaan tempatan mereka di Country Pavilion digital,” kata agensi tersebut sambil menambah Malaysia Pavilion akan menampilkan produk dan perkhidmatan daripada 53 perusahaan tempatan.

“Di bawah agenda MyDIGITAL, Malaysia menyasar untuk memanfaatkan kemajuan pasaran e-dagang di ASEAN apabila sektor ekonomi digital dijangka mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan dan menyumbang 22.6 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025,” kata MATRADE.

Jabatan Perangkaan Malaysia juga baru-baru ini melaporkan bahawa pendapatan daripada urus niaga e-dagang pada 2020 berjumlah RM896.4 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan 32.7 peratus berbanding 22.8 peratus pada 2019.

Syarikat Thailand dan Malaysia yang berminat untuk meneroka pasaran e-dagang rentas sempadan boleh menghubungi Norman di [email protected].

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This