Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PBB fokus kepada tiga perkara utama – Abang Johari

Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PBB fokus kepada tiga perkara utama – Abang Johari

KUCHING,. Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini memutuskan untuk memfokus kepada tiga perkara utama dalam mengukuhkan parti itu.

Ketua Menteri yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, yang pertamanya adalah untuk menguatkan jentera parti disamping mengemaskini parti apabila ada penambahan ahlinya.

“Selain itu, kita juga akan memantapkan jaringan kerjasama antara ahli-ahli GPS di seluruh negeri ini disamping mengeratkan setia kawan dengan komponen parti GPS, memandangkan kita telah melancarkan beberapa zon GPS di beberapa kawasan di negeri.

“Perkara kedua adalah membincangkan belanjawan yang telah dibentang oleh kerajaan persekutuan dan juga pendekatan kerajaan negeri dalam pembentangan Belanjawan negeri dalam masa terdekat ini. Selain itu, kita mempunyai satu rangka untuk menangani sekolah daif dengan terperinci, ini sangat penting untuk penduduk luar bandar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PBB di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Pari Sarawak (GPS) menambah segala cadangan yang memberi tumpuan kepada pembangunan Sarawak haruslah melalui jawatankuasa Majlis Tindakan yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Sarawak dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang mewakili kerajaan persekutuan.

Abang Johari berkata, perkara terakhir yang dibincangkan adalah reformasi pilihan raya, yang menyentuh beberapa perkara yang memerlukan perbincangan bersama sebelum membuat keputusan, supaya tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.

Dalam pada itu, Abang Johari turut memaklumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil kini menjadi ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Kami telah memutuskan di mesyuarat untuk menerima permohonannya. Ia merupakan keputusan sebulat suara,” katanya.

Jerip Susil sebelum ini dilaporkan telah mengambil keputusan keluar dari Parti Sarawak Bersatu, bagaimanapun masih dikekal sebagai anggota pentadbiran negeri ketika Abang Johari mengumumkan rombakan kabinet pada 22 Ogos lalu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This