Muhyiddin ucap penghargaan kepada Ahli Parlimen BN

Muhyiddin ucap penghargaan kepada Ahli Parlimen BN

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. mengucap setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang terus memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan beliau yang dapat memberi sepenuh perhatian terhadap usaha menangani COVID-19, mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara.

Beliau juga berharap keputusan mereka itu yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dapat menghentikan polemik politik yang sedang berlaku.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri dan semua Ahli Parlimen BN yang bersama beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan saya.

“Saya juga mengucapkan terima kasih atas pendirian mereka yang bersetuju bahawa keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada September dalam usul undi percaya dan bukan melalui kaedah lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata pendirian yang ditunjukkan itu selaras dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disampaikan kepada beliau semasa sesi menghadap di Istana Negara, pada Rabu lepas.

Hari ini, seramai 31 Ahli Parlimen daripada UMNO dan BN mengumumkan pendirian mereka untuk terus bersama-sama dan menyokong kerajaan PN dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 yang meruncing ketika ini.

Pendirian Ahli Parlimen itu dibacakan oleh Ismail Sabri dalam satu sidang media di sini yang turut dihadiri 21 Ahli Parlimen UMNO dan BN, manakala 10 ahli parlimen lain tidak hadir kerana urusan tugas.

Mereka akur keabsahan kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin akan ditentukan oleh Ahli-ahli Parlimen menerusi usul undi percaya yang dijadual dibentangkan pada sidang Parlimen bulan hadapan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This