Mun Yee harap penerjun muda meningkat dengan cepat

Mun Yee harap penerjun muda meningkat dengan cepat

KUALA LUMPUR,. Bekas penerjun kebangsaan Leong Mun Yee berharap untuk dapat melihat penerjun muda negara untuk dapat meningkat dengan cepat bagi meneruskan legasi yang ditinggalkannya, pada masa hadapan.

Bukan itu sahaja, Mun Yee yang bersara secara rasminya selepas 27 tahun memberikan cabaran di kolam pada Jumaat (31 Dis) berkata, penerjun muda perlu mempunyai tahap mental yang tinggi bagi mencipta kejayaan dalam mana-mana kejohanan atau temasya sukan, yang mereka sertai nanti.

“Saya jangkakan lebih ramai penerjun senior akan bersara selepas Sukan Olimpik Paris 2024. Saya berharap mereka (atlet muda) akan dapat meningkat dengan cepat.

“Ini kerana ia mengambil masa yang panjang untuk gilap seorang penerjun sebelum mereka mampu sampai ke peringkat tinggi. Ia bukan suatu yang belaku dengan singkat tetapi ia mengambil masa sedikit untuk capai keputusan baik, dan saya berharap mereka tidak akan cepat mengalah,” katanya dalam satu sidang media hari di sini semalam.

Selain Mun Yee, bekas juara dunia Cheong Jun Hoong juga telah mengumumkan persaraannya semalam (4 Jan), selepas lebih dua dekat berkecimpung dalam sukan itu sejak 1999.

Dalam masa yang sama, Mun Yee yang bercadang untuk membuka akademi untuk melatih kanak-kanak berusia lima sehingga 12 tahun, sedang melihat Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini sebagai lokasi pertama akademi tersebut, Jun hadapan.

“Untuk pertamanya, saya mahu adakan di Bukit Jalil kerana ia menawarkan fasiliti terbaik dan jika ia berjalan dengan baik, saya bercadang untuk buka yang kedua di Ipoh, Perak kerana saya dari sana.

“Harapannya, saya akan mendapat sokongan dari Kementerian Belia dan Sukan, kerana ia melibatkan banyak proses dan peringkat sehingga saya dapat membuka akademi saya sendiri,” katanya.

Bekas atlet kelahiran Ipoh itu berkata beliau memutuskan untuk melatih mereka yang berusia antara lima sehingga 12 tahun tahun, bagi melahirkan bakat-bakat baharu.

“Jika anda tahu, China mula melatih penerjun masa hadapan mereka pada usia awal, jadi saya rasa kita boleh mulakan dengan mereka yang berusia lima tahun. Bukan itu sahaja, akademi terjun agak janggal di sini, dan tambahan pula tidak ada ramai jurulatih tempatan,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Renang Malaysia Mae Chen yang amat sedih dengan berita tersebut, memuji Mun Yee dan mengambarkan beliau sebagai seorang penerjun yang rajin dan hebat di Malaysia.

“Beliau tidak pernah mengeluh walaupun penat dan cedera. Setiap hari selepas setiap sesi petang, beliau akan terus ke Institut Sukan Negara bagi membantu beliau memulihkan semula tubuhnya,” katanya.

Mun Yee yang mula menceburi sukan terjun pada usia 10 tahun, merupakan antara penerjun negara paling berjaya, dengan pelbagai kejayaan termasuk pingat perak di Sukan Komanwel 2010 di India, gangsa di Sukan Asia 2014 di Korea Selatan dan dua emas di Sukan SEA KL, 2017.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This