Najib ada kepentingan peribadi untuk guna SRC bagi faedah sendiri – Mahkamah

Najib ada kepentingan peribadi untuk guna SRC bagi faedah sendiri – Mahkamah

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Mahkamah Tinggi memutuskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kepentingan peribadi untuk menggunakan SRC International Sdn Bhd sebagai wadah bagi kepentingan diri sendiri dengan memanfaatkan kedudukannya serta kawalan beliau terhadap syarikat.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata pihak pembelaan gagal menggunakan undang-undang untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan dakwaan salah guna kuasa menurut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Kepentingan tertuduh di SRC dalam konteks Seksyen 23(1) bukan kawalannya terhadap SRC tanpa lebih daripada itu. Itu semata-mata asas kepada kepentingan,” kata hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati bekas perdana menteri itu bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Mohd Nazlan berkata penglibatan tertuduh dalam mesyuarat kabinet yang meluluskan jaminan kerajaan bagi pembiayaan RM4 bilion kepada SRC oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang kemudian disalurkan dengan cepat kepada SRC, secara langsung menyebabkan tertuduh berada di kedudukan untuk mengakses lebih banyak dana syarikat pada bila-bila masa apabila dirasakan perlu oleh tertuduh, termasuk RM12 juta yang masuk ke dalam akaun-akaun tertuduh pada lewat 2014 dan awal 2015.

Hakim seterusnya berkata alasan penglibatan itu ialah motivasi bagi hasrat mendapatkan akses kepada dana yang lebih besar dalam SRC termasuk RM42 juta terbabit.

“Dana RM42 juta yang diterima pada 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015 merupakan penyebab langsung kepada penglibatan tertuduh dalam mesyuarat kabinet. Jumlah tersebut merupakan ‘gratifikasi’ seperti tuduhan menurut Seksyen 23 Akta SPRM terhadap tertuduh.

“Fakta-fakta dalam perbicaraan ini ialah pihak-pihak yang terlibat ialah kerajaan (kabinet) dan SRC. Tertuduh mengetuai kerajaan dan juga kepentingan peribadi dalam SRC yang dikawal beliau,” kata hakim itu.

Hakim Mohd Nazlan berkata kelulusan oleh kabinet memanfaatkan SRC yang dikawal oleh tertuduh sendiri.

Hakim berkata tidak perlu ada pengaturan di antara tertuduh dan pihak lain berhubung gratifikasi yang bakal diterima untuk membuktikan kehadiran niat jenayah.

“Harus ditekankan di sini bahawa tertuduh mempunyai kepentingan dalam SRC. Beliau terlibat dalam mesyuarat kabinet yang meluluskan permohonan SRC untuk mendapatkan jaminan kerajaan,” katanya.

“Keputusan untuk meluluskan (jaminan kerajaan) secara langsung meletakkan tertuduh di kedudukan yang memberikan akses kepada lebih banyak dana SRC.

“Gratifikasi dari segi manfaat dengan segera menjadi hak tertuduh untuk beliau putuskan bila dana tersebut akan disalurkan bagi kegunaan beliau sendiri,” kata hakim.

Hakim Mohd Nazlan seterusnya berkata beliau telah menganalisis hujahan mengenai kepentingan negara dan kerelevanan Seksyen 23(4) pada akhir kes pendakwaan.

Katanya beliau meragui tertuduh boleh dianggap sebagai pegawai di SRC dan wakil kerajaan, serta turut mendapati jawapan lengkap kepada hujahan pembelaan mengenai isu itu ialah Seksyen 23(4) tidak boleh diguna pakai dalam kes ini kerana tidak ditunjukkan tindakan yang diambil tertuduh, yang membawa kepada keputusan kerajaan untuk meluluskan dua jaminan kerajaan, dibuat demi kepentingan atau faedah kerajaan.

Hakim Mohd Nazlan berkata pembelaan tertuduh tidak memberikan sebarang perkara baharu yang substantif dan tidak dapat mengubah dapatan di akhir kes pendakwaan bahawa tindakan tertuduh bukan untuk kepentingan negara dan bukti yang dikemukakan itu tidak mewajarkan penggunaan Seksyen 23(4) Akta SPRM.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This