Nelayan teruja miliki kediaman sendiri selepas penantian 15 tahun
LUMUT,. Perayaan Aidilfitri kali ini pastinya lebih bermakna buat seorang nelayan, Ali Omar Mok Tasim, 39, apabila impian untuk memiliki rumah sendiri sejak 15 tahun lepas, akhirnya tertunai.
Menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri Perak, hasrat dan cita-cita Ali Omar sekeluarga itu termakbul apabila permohonan yang diluluskan untuk mendiami rumah di Tanjung Kepah, Lekir, dekat sini.
Menceritakan semula perjalanan untuk memiliki rumah dengan bantuan kerajaan itu, katanya, beliau dan isteri, Nur Nadia Yaakob, 31, hampir putus asa selepas lebih lima tahun membuat permohonan PKPN menerusi Persatuan Nelayan Kawasan Manjung Selatan, namun tiada sebarang jawapan diterima.
“Lima tahun saya kemas kini permohonan sebab saya bekerja sebagai nelayan sahaja, susah ingin beli rumah sebab tidak mampu. Alhamdulillah, kali ini permohonan lulus dan saya sangat teruja kerana impian kami sekeluarga tercapai tambahan pula sudah menghampiri sambutan Aidilfitri.
“Sebelum ini, kami sekeluarga dengan tiga anak menyewa di sebuah rumah kayu tidak jauh dari sini. Dengan keadaan anak yang semakin membesar, memang tak selesa,” katanya yang telah menjadi nelayan lebih 15 tahun.
Ali Omar ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kategori Bina Baharu PKPN LKIM Perak yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Razman Zakaria di Tanjung Kepah, Lekir, di sini semalam.
Sementara itu, Razman berkata, rumah dengan kos RM56,000 itu merupakan antara 30 rumah bina baharu membabitkan kos keseluruhan RM1.68 juta menerusi projek khas itu yang akan diserahkan kepada nelayan pada tahun ini.
Jelasnya, mana-mana nelayan yang berkelayakan perlu mengambil peluang memohon untuk memiliki rumah sendiri melalui program berkenaan ataupun memohon untuk membaik pulih rumah sedia ada kepada LKIM, termasuk jika mereka mempunyai tanah, boleh memohon dibangunkan sebuah kediaman baharu.
“Kita akan buat siasatan terhadap setiap permohonan…kalau memohon untuk baik pulih, sebanyak RM12,000 akan diperuntukkan untuk satu unit,” katanya.
Dalam pada itu, Razman memberi jaminan bahawa bekalan keperluan asas seperti daging, tepung, kelapa di negeri ini mencukupi sempena sambutan Aidilfitri kali ini.
“Walaupun harga sedikit dipertikaikan baru-baru ini, tetapi ia mencukupi dan tiada aduan secara khusus mengenai kekurangan atau tiada bekalan,” katanya.
— Bernama