NGO harap pakej rangsangan komprehensif berorientasikan rakyat

NGO harap pakej rangsangan komprehensif berorientasikan rakyat

Oleh S. Joan Santani

KUALA LUMPUR, 26 Mac — Ikatan Komuniti Selamat (IKS) berharap pakej rangsangan ekonomi kedua, yang akan diumumkan esok, untuk menjadi lebih komprehensif dan berorientasikan rakyat.

Pengerusi IKS, Tan Sri Lee Lam Thye berkata antara langkah penting yang dijangkakan adalah pemberian tunai selama enam bulan kepada mereka yang paling terjejas akibat kesan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti penjaja, peniaga kecil, orang yang bekerja sendiri dan pemandu teksi.

“Saya juga berharap agar pakej ekonomi kedua ini akan memperkenalkan beberapa langkah penting bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang sedang berhadapan dengan kesukaran,” katanya kepada Bernama.

Kerajaan juga harus melihat kepada keadaan golongan pekerja yang amat tertekan dengan potensi pemberhentian dalam tempoh kritikal ini.

“Jika majikan terpaksa membuang pekerja mereka akibat gangguan perniagaan dan kehilangan hasil, ini akan mengakibatkan kemunculan masalah sosial lain berikutan pengangguran yang lebih tinggi,” katanya.

Bagi mengelakkan senario tersebut, Lee berkata, kerajaan perlu memperkenalkan satu pelan yang boleh membantu majikan daripada terpaksa mengambil langkah seperti itu.

Lee ketika mengulas mengenai COVID-19, berkata kerajaan telah melakukan dasar yang amat baik dalam menangani pandemik tersebut memandangkan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia agar mematuhi sepenuhnya PKP.

“Setakat ini, polis mengumumkan bahawa mereka melihat pematuhan yang lebih baik sebanyak 90 peratus. Mudah-mudahan, minggu ini kita akan dapat mencapai 100 peratus pematuhan,” katanya.

Kerajaan akan mengumumkan satu lagi rangsangan bernilai berbilion ringgit esok, untuk meringankan beban kewangan hampir semua segmen masyarakat berikutan penguatkuasaan PKP.

Kesegeraan untuk memperkenalkan pakej kedua, yang dijangka lebih besar daripada pakej rangsangan pertama sejumlah RM20 bilion, mencerminkan hakikat bahawa Malaysia telah melaporkan sebanyak 2,031 kes positif COVID-19, yang tertinggi di Asia Tenggara.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This