Pasaran getah dijangka stabil minggu depan

Pasaran getah dijangka stabil minggu depan

KUALA LUMPUR,. Pasaran getah Malaysia dijangka lebih stabil pada minggu depan, terutama aspek harga dan permintaan terhadap komoditi itu yang turut didorong oleh perkembangan usaha pemulihan ekonomi di peringkat global.

Bekas Presiden Pertubuhan Pengilang-Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata aktiviti dagangan dan menambah stok simpanan dijangka berlaku ketika negara-negara kuasa besar ekonomi seperti China, Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun menumpukan usaha pemulihan ekonomi walaupun masih berdepan pandemik.

“Persepsi umum yang ada lebih kepada langkah semua pihak memulakan program pemulihan ekonomi masing-masing. Ini memberi harapan dari segi meningkatkan produktiviti barangan serta perkhidmatan, malah persepsi sedemikian turut menggalakkan lagi penggunaan getah,” katanya kepada Bernama.

Low berkata, faktor seperti hujan dialami negara-negara pengeluar getah juga memastikan tiada pengeluaran getah secara berlebihan, sekali gus membantu dari segi harga komoditi tersebut.

“Terdapat keseimbangan positif pada masa ini, baik untuk pihak pengeluar dan pengguna kerana keadaan penawaran atau bekalan dan permintaan yang kondusif untuk kedua-dua pihak.

“Oleh itu, kami tidak menjangkakan sebarang ketidaktentuan permintaan dan harga pada minggu-minggu akan datang berikutan tiada perubahan dinamik penawaran dan permintaan,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga lain juga berpendapat pasaran getah dijangka terus mengukuh minggu depan susulan peningkatan permintaan terhadap getah asli, terutama dari China ketika bekalan negara pengeluar dijejaskan oleh impak pandemik yang berterusan.

Harga getah juga dijangka ditentukan oleh faktor seperti prestasi ringgit, harga minyak mentah dan pasaran niaga hadapan geetah serantau.

“Penggiat pasaran akan terus memberi tumpuan terhadap Rizab Persekutuan AS bagi unjuran ekonomi pada minggu depan,” katanya.

Pada minggu yang baru berakhir, pasaran getah tempatan mengakhiri dagangan secara bercampur-campur dan mendapat kesan daripada perkembangan pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah dan kebimbangan mengenai penularan COVID-19.

Bagi asas mingguan, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 susut 3.5 sen kepada 725.5 sen sekilogram manakala lateks pukal naik 1.5 sen kepada 530.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 717.0 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 529.5 sen sekilogram.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This