Pasukan petugas mula operasi bilik sekretariat di Wuhan

KUALA LUMPUR,. Pasukan petugas dari Kedutaan Besar Malaysia di Beijing telah mula mengoperasikan bilik sekretariat di bandar Wuhan untuk membantu proses penghantaran pulang rakyat Malaysia susulan penularan wabak 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) di negara itu.

Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dalam kenyataan malam tadi berkata tugasan pasukan itu pada Ahad ialah terus mengemas kini maklumat-maklumat logistik dan juga memurnikan tindakan bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan.

“Usaha-usaha perbincangan lanjut juga dibuat bersama-sama Kerajaan China dan kerajaan tempatan Wilayah Hubei bagi memastikan kelancaran proses tersebut,” katanya.

Katanya, setakat ini, rakyat Malaysia di Wuhan telah memberi maklum balas dan kerjasama yang baik selain pasukan tersebut menerima sokongan baik daripada Kerajaan China dan kerajaan tempatan Wilayah Hubei bagi menggerakkan rakyat Malaysia di Wuhan.

Dalam pada itu, Nushirwan memaklumkan 141 orang, terdiri daripada 117 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang merupakan pasangan serta anak-anak mereka akan dibawa pulang menaiki pesawat khas dari Wuhan, China.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataan paa Ahad menyatakan seramai 132 orang akan dibawa pulang dengan penerbangan khas dari Wuhan, China, esok, berikutan penularan koronavirus.

Dr Wan Azizah berkata tertakluk kepada kelulusan Kerajaan China, mereka yang akan dibawa pulang hanyalah yang didapati sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan yang ditetapkan oleh Kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan, Tianhe.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )