PDRM pastikan ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’ terlibat sindiket dadah dibawa ke muka pengadilan

PDRM pastikan ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’ terlibat sindiket dadah dibawa ke muka pengadilan

JELI,. Polis mengenal pasti beberapa dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik status ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, Jabatan Narkotik di Bukit Aman kini dalam proses untuk mengambil tindakan terhadap tauke dadah terbabit, yang juga didapati hidup mewah dengan berselindung di sebalik perniagaan yang sah menyebabkan polis sukar untuk mendapatkan maklumat yang boleh mengaitkan mereka dengan kegiatan pengedaran dadah.

“Tetapi saya akan pastikan mereka ini akan masuk (penjara), walaupun saya tahu statusnya tinggi bergelar Datuk, Datuk Seri atau Tan Sri… saya akan berusaha bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab mereka ini akan terungkai dan mereka akan didakwa.

“Paling tidak pun saya akan ambil tindakan di bawah POCA (Akta Pencegahan Jenayah 1959),” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli dekat sini semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Abdul Hamid berkata, telah tiba masanya kegiatan golongan itu didedahkan dan mereka dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang merosakkan ribuan masyarakat akibat terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.

“Beribu masyarakat rosak disebabkan perbuatan mereka hendak mendapatkan keuntungan secara haram ini dan sudah berapa ramai yang masuk penjara, berapa ramai warga polis terhukum disebabkan menerima rasuah untuk beri perlindungan menutup kegiatan tauke-tauke dadah ini.

“Jangan ingat mereka boleh berselindung di sebalik title yang mereka ada itu untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang kononnya sah tetapi sebaliknya melakukan kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah,” katanya.

Abdul Hamid turut memberi jaminan polis di setiap peringkat daerah dan negeri akan menjalankan siasatan secara telus dan terperinci berhubung sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah itu bagi memastikan setiap rangkaian sindiket dari atas hingga ke bawah ditumpaskan.

Mengulas laporan berhubung kejadian seorang pegawai dan lima anggota polis ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah pangsapuri di Ipoh, Perak, kelmarin, Abdul Hamid berkata: “Saya ingatkan kepada warga PDRM bahawa tiada maaf lagi untuk kesalahan sebegini kerana perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah arahkan siasatan lanjut dilakukan supaya mereka tidak terlepas dan akan pastikan mereka dihukum.”

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This