Pekerti 2022-2025 ditambah baik

Pekerti 2022-2025 ditambah baik

PUTRAJAYA,. Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (Pekerti) 2022-2025, yang dilancarkan hari ini melibatkan penambahbaikan daripada Pekerti 2009-2012 dari segi teras, strategi serta aktiviti.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun (gambar) berkata Pekerti 2022-2025 mengandungi lima teras, 11 strategi serta 26 aktiviti, berkaitan kesihatan reproduktif dan sosial, berbanding empat teras, enam strategi dan 15 aktiviti dalam Pekerti 2009-2012.

Pada 27 April lepas, Kabinet meluluskan Pekerti 2022-2025 bagi menggantikan Pekerti 2009-2012, dengan mengambil kira kepelbagaian agama, kumpulan umur, budaya, jantina dan nilai hidup Keluarga Malaysia, selaras dengan sasaran Matlamat 5 Pembangunan Mampan (SDG) 2023, iaitu mencapai kesaksamaan gender serta memperkasa golongan wanita dan kanak-kanak perempuan.

“Ada banyak penambahbaikan jika dibandingkan dengan yang terdahulu. Pekerti 2022-2025 menyentuh pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial yang terpakai kepada semua lapisan masyarakat,” kata Rina pada sidang media selepas melancarkan Pekerti 2022-2025 di sini hari ini.

Melalui penambahbaikan itu, Rina berkata pelbagai program yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk Pekerti 2022-2025 itu, akan dapat memastikan penerapan ilmu pengetahuan dan tanggapan yang betul mengenai kesihatan reproduktif serta seksual dicapai.

Rina berkata perkembangan dan penilaian dasar Pekerti 2022-2025, akan dipantau Jawatankuasa Penasihat dan Penyelaras untuk Kesihatan Reproduktif (ACCRH) yang diketuai Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“ACCRH akan melaporkan mengenai pelaksanaan, isu, cabaran serta cadangan penambahbaikan kepada KPWKM, bagi setiap program atau tindakan yang dilaksanakan,” katanya.

Mengulas isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak, Rina berkata semua pihak perlu berganding bahu dengan memberikan cadangan kepada pihaknya, mengenai langkah terbaik bagi menangani perlakuan tidak bermoral itu.

“KPWKM sentiasa mengalu-alukan cadangan dan membuka ruang kerjasama dengan pelbagai pihak,” katanya KPWKM ketika ini menjalinkan kerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, CyberSecurity Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dalam menangani isu berkenaan.

Dalam pada itu, Rina berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengadakan pertemuan dengan seorang pelakon remaja pada Isnin lepas, bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan menjadi mangsa gangguan seksual bapanya, sejak berusia lima tahun.

Dilaporkan bapa pelakon berkenaan telah ditahan polis pada Selasa, membabitkan dakwaan serangan seksual, memiliki bahan lucah dan pengabaian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This