Pemegang Pas Jangka Panjang di negara ketiga, diplomat dibenar keluar negara

Pemegang Pas Jangka Panjang di negara ketiga, diplomat dibenar keluar negara

KUALA LUMPUR,. Pemegang Pas Jangka Panjang di negara ketiga serta diplomat dibenar keluar negara dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula Rabu lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun kata Hamzah, pemegang pas jangka panjang di negara ketiga itu dibenarkan keluar negara dengan syarat mereka tidak pulang ke negara ini sebelum 31 Mac ini dan perlu mengemukakan dokumen atau bukti yang kukuh sebagai rujukan di kaunter pemeriksaan.
“Bagaimanapun, warganegara Malaysia dan penduduk tetap yang ingin keluar negara atas tujuan lawatan sosial adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Hamzah menegaskan warganegara asing tidak dibenarkan masuk ke negara ini dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Ini termasuk pemegang pas seperti Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Penggajian (Pas Ekspatriat), Pas Pelajar, Pas Tanggungan (kepada Pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang) dan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (MM2H).

“Sekiranya pas tamat tempoh semasa Perintah Kawalan Pergerakan dan pemegang pas berada di luar negara, mereka dibenarkan kembali semula ke negara ini dalam tempoh tiga bulan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berakhir.

“Mereka dikehendaki memperbaharui pas dalam tempoh 30 hari dari tarikh masuk ke Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata suami, isteri dan anak kepada rakyat Malaysia dibenarkan masuk dengan syarat mempunyai Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (Suami/Isteri) dan Pas Tanggungan serta menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari.

“Diplomat asing yang bertugas di perwakilan dalam negara dibenarkan masuk dan menjalani kuarantin sendiri dan sekiranya pasangan atau keluarga diplomat ingin masuk bersama ke Malaysia, mereka perlu mempunyai Pas Tanggungan.

“Pemegang Pas Ekspatriat yang terlibat dalam perkhidmatan penting (mengikut kes tertentu) perlu mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Imigresen terlebih dahulu dan menjalani kuarantin sendiri, kelulusan perlulah diperoleh sebelum berlepas ke Malaysia,” katanya.

Bagi warganegara asing yang berada dalam negara dan memegang pas lawatan jangka pendek serta jangka panjang, Hamzah berkata mereka dibenarkan pulang ke negara asal melalui pintu-pintu masuk utama sekiranya pas telah tamat.

“(Mereka juga boleh) melanjutkan tempoh pas sedia ada dan pembaharuan hendaklah dibuat dalam tempoh 14 hari selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tamat.

“(Sekiranya berhasrat) pulang ke negara asal atau negara transit tetapi tidak mendapat kebenaran daripada negara tersebut atau ketiadaan penerbangan keluar, (mereka) hendaklah memohon Pas Khas dengan kadar segera selepas tempoh perintah kawalan pergerakan tamat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata rakyat Malaysia serta penduduk tetap yang hanya transit di sempadan Malaysia-Brunei dibenarkan masuk dan keluar mengikut arahan Pihak Berkuasa Negeri yang sedang berkuat kuasa.

BACA: Perintah Kawalan Pergerakan M’sia: Singapura harapkan sedikit kefleksibelan

Rakyat Malaysia, penduduk tetap atau warganegara asing yang memandu kenderaan berat untuk tujuan membawa barangan berkaitan perkhidmatan penting/barangan komersial adalah dibenarkan keluar dan masuk serta dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Warganegara Malaysia dan penduduk tetap Malaysia yang menggunakan perkhidmatan kereta api di Padang Besar, Woodland Train Check Point (WTCP) dan Johor Bahru Sentral hanya dibenarkan untuk masuk ke Malaysia sahaja,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This