Pemikir mahu dasar PBT lebih adil, seimbang di P. Pinang

Pemikir mahu dasar PBT lebih adil, seimbang di P. Pinang

GEORGE TOWN,. Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baru dilantik iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memastikan dasar pembangunan sosioekonomi yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pulau Pinang adalah adil dan seimbang.

Pengerusinya, Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata sehubungan itu, pertubuhan bukan kerajaan tersebut memohon kepada Reezal Merican yang merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas (Pulau Pinang), untuk memastikan kepentingan masyarakat bumiputera juga diambil kira.

Dalam satu kenyataan semalam, Muhamad Farid berkata ini termasuk isu berkaitan pemilikan rumah bumiputera dan kesan daripada program Malaysia My Second Home (MM2H) yang Pemikir berpendapat program itu haruslah diperketatkan lagi syaratnya demi kepentingan semua pihak.

Muhamad Farid berkata teknologi seperti Sistem Bangunan Industri (IBS) dan inisiatif pemilikan perumahan kepada bumiputera di Pulau Pinang terutama bagi golongan belia, harus ditambah baik selari dengan Dasar Perumahan Negara.

Katanya Pulau Pinang juga adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang keseluruhan negeri adalah di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya.

“Sehubungan dengan itu, kawasan kampung seharusnya dilengkapkan dengan kemudahan prasarana lengkap, moden dan mencukupi sepertimana kawasan bandar George Town tanpa mengganggu kedamaian kampung tradisi.

“Kawasan yang telah digazetkan sebagai kawasan sawah padi dan hijau tidak dibiarkan dizonkan semula sebagai kawasan pembangunan sewenangnya mengikut kehendak pemaju tanpa memikirkan kelangsungan kehidupan di sana,” katanya.

Menurutnya Pemikir juga mengucapkan tahniah di atas pelantikan Reezal Merican mengetuai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihaknya sedia bekerjasama dengan kementerian itu dalam menjayakan program perumahan, kerajaan tempatan, pembangunan dan perancangan bandar, kesejahteraan bandar, bomba dan penyelamatan, pengurusan sisa pepejal dan pembangunan landskap.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This