Penghantaran pulang pelancong China yang terkandas di Sabah dibincangkan dalam mesyuarat khas

KOTA KINABALU,. Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew mengadakan satu mesyuarat khas Isnin bagi membincangkan penghantaran pulang pelancong China yang terkandas di Sabah susulan penularan wabak 2019 novel-Coronavirus (2019-nCoV) di negara itu, yang menyaksikan kerajaan China menyekat pergerakan keluar dan masuk beberapa wilayahnya.

Mesyuarat itu dihadiri pihak berkuasa yang berkaitan seperti Jabatan Imigresen Sabah, Malaysia Airports Berhad dan juga syarikat-syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad, AirAsia, Malindo Air, Xiamen Airlines, China Southern Airlines dan China Eastern/Shanghai Airlines

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata perbincangan itu tertumpu kepada dua isu, iaitu lanjutan visa bagi yang tamat tempoh, serta rancangan perjalanan untuk membawa mereka pulang ke China selain melibatkan bandar raya Wuhan.

“Jabatan imigresen Sabah telah bersetuju membantu dalam melanjutkan visa perjalanan selama tujuh hari selepas tamat tempoh asal, dan ini boleh dilakukan di ibu pejabat Jabatan imigresen di Kota Kinabalu, hanya tertakluk kepada pelancong dari China yang tiba di Sabah sebelum 31 Jan.

“Visa akan dilanjutkan hanya selepas ditunjukkan tiket perjalanan pulang yang sah. Juga ditetapkan bahawa keperluan penjamin tempatan bagi pelancong FIT (Free and Independent Travellers) diketepikan. Sila ambil maklum bahawa bayaran lanjutan visa RM100 masih dikenakan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini malam ini.

Merujuk kepada bantuan yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan, Liew berkata syarikat penerbangan berkenaan bersetuju untuk mengetepikan yuran pembatalan bagi mereka yang penerbangannya dibatalkan.

“Ada juga pilihan penerbangan tempahan semula ke China melalui Kuala Lumpur. Kami nasihatkan penumpang terkandas untuk mengakses laman web syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang penerbangan yang disediakan untuk perjalanan pulang mereka,” katanya.

Beliau berkata AirAsia masih mengendalikan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Shenzhen (14 kali seminggu), Guangzhou (tujuh kali seminggu), Hangzhou (lima kali seminggu) dan Kunming (dua kali seminggu).

Penerbangan Malaysia Airlines terbang ke Shanghai dua kali seminggu manakala penerbangan China Southern Airlines ke Guangzhou berakhir pada Khamis (6 Feb).

Pada Isnin, Liew juga mempengerusikan mesyuarat dengan kumpulan pelancongan dan pihak berkuasa kesihatan di mana beliau diberi taklimat mengenai koronavirus oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan (Unit Survelans Kesihatan), Dr Sahrol Nizam Abu Bakar.

Liew telah mengarahkan Lembaga Pelancongan Sabah untuk menganjurkan taklimat mengenai koronavirus untuk pihak berkuasa imigresen, pengusaha hotel, syarikat penerbangan, ejen pelancongan, pengendali pelancongan dan pemandu pelancong secepat mungkin.

“Sangat penting bagi semua mereka yang berada di barisan hadapan industri pelancongan negeri untuk diterangkan mengenai keadaan semasa, kawalan dan langkah-langkah pencegahan yang dilakukan oleh pihak berkuasa kesihatan untuk menangkis jangkitan,” kata Christina.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )