Pengusaha makanan, minuman dan pekerja wajib daftar vaksin – Majlis Perbandaran Sibu
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mencadangkan semua pengusaha makanan dan minuman serta pekerja mereka wajib mendaftar program vaksinasi dijangka bermula September nanti. Pengerusinya Clarence Ting berkata, ia perlu dilakukan memandangkan sektor ini termasuk perkhidmatan awam dan menjadi tanggungjawab pengusaha memastikan keselamatan pelanggan mereka.
Beliau berkata, langkah itu memberi kepercayaan kepada pelanggan untuk makan atau minum di premis mereka. “Kita memikirkan perkara itu selepas program vaksinasi besar-besaran untuk penduduk Sibu yang saya fikir bermula tidak lama lagi.
“Mungkin bermula 1 September nanti, semua pengusaha dan pekerja premis makanan dan minuman mendaftar mendapatkan suntikan. “Kita melakukan pemeriksaan dan jika mereka belum mendaftar, MPS mungkin akan menutup premis sehingga mereka mendaftarkan diri,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Ting meninjau premis menjual makanan dan minuman di Jalan Sanyan, Jalan Raminway dan Jalan Morshidi Sidek di sini bersama Bahagian Kesihatan Awam MPS bagi membantu mendaftar pengusaha serta pekerja yang belum mendaftar suntikan vaksin.
Menurutnya, lesen premis makanan dan minuman adalah di bawah MPS dan ini menjadikan MPS bertanggungjawab memastikan semua pelanggan selamat. “Memandangkan suntikan vaksin ini diberi secara percuma oleh kerajaan orang ramai tidak mempunyai alasan untuk tidak mendaftarkan diri.
“Kita mahu orang awam selamat. MPS mahu premis serta setiap makanan dan minuman dijual adalah selamat,” jelasnya. Pada masa sama, MPS juga bercadang memberi sijil dan pengusaha boleh mempamerkannya bagi memberi keyakinan kepada pelanggan mereka.
Pada lawatan itu Ting berkata, ramai pekerja masih belum mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi itu. “Kita perlu mendesak mereka untuk keselamatan semua. Dengan itu kita dapat diberi vaksin segera dan boleh menjalani kehidupan normal semula,” katanya.
Ting berkata, MPS akan melawat semua premis makanan dan minuman, pasar tamu dan pasar malam sekitar Sibu. Bandar Sibu mempunyai lebih kurang 700 kedai kopi tidak termasuk restoran.
-Agensi