PENJANA: Keprihatinan kerajaan pastikan pemulihan sektor pelancongan – Nancy

PENJANA: Keprihatinan kerajaan pastikan pemulihan sektor pelancongan – Nancy

KUALA LUMPUR,. Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi menangani cabaran dihadapi penggiat industri yang terkesan ekoran wabak COVID-19 merupakan bukti kerajaan prihatin membantu pemulihan semula sektor ekonomi khususnya pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bermanfaat dengan beberapa inisiatif bagi memastikan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya dapat terus menyumbang kepada negara.


“Inisiatif bagi tujuan berkenaan yang diumumkan, jelas membuktikan bahawa perdana menteri mengambil berat setiap keluhan mereka (penggiat industri) yang tampil ke pejabat saya. Terima kasih perdana menteri.

“Sektor pelancongan tersenarai dalam aktiviti ekonomi dilarang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan perluasan Program Subsidi Upah memberi manfaat kepada pekerja, usahawan dan penggiat sektor pelancongan yang diarah mengambil cuti tanpa gaji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi PENJANA yang diumumkan Muhyiddin hari ini, kerajaan memperuntukkan RM9 bilion bagi menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat, dan memastikan pengekalan pekerjaan rakyat.


Peruntukan itu termasuk pelanjutan Program Subsidi Upah yang diperkenal dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN Tambahan sebelum ini dengan peruntukan tambahan RM5 bilion.

Nancy berkata selain itu Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA bernilai RM1 bilion untuk membiayai inisiatif transformasi oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), turut membantu sektor pelancongan untuk terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu.


Beliau berkata antaranya inisiatif penangguhan cukai di bawah perniagaan pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan, memberikan penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai selama tiga bulan lagi mulai 1 Okt 2020 hingga 31 Dis 2020.

Turut diumumkan pengecualian cukai pelancongan bagi tempoh mulai 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021 dan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang disediakan oleh pengendali premis penginapan dilanjutkan mulai 1 Sept hingga 30 Jun 2021.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This