Penjawat awam Selangor digalak mendaftar PADU – Amirudin

Penjawat awam Selangor digalak mendaftar PADU – Amirudin

SHAH ALAM,. Penjawat awam negeri Selangor digalakkan untuk melakukan pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan PADU akan memberikan maklumat yang lebih tepat kepada proses pemberian subsidi di masa hadapan dan juga program perancangan kerajaan.

Beliau berkata ketika ini seramai 27,378 penjawat awam negeri Selangor, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkhidmat di negeri itu.

“Insyallah-Allah, kita akan menggalakkan penjawat awam untuk mendaftar PADU dan sebahagian penjawat awam di sini (Selangor) merupakan PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik) iaitu bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan, dan arahan itu saya rasa telah dipanjangkan kepada mereka semenjak beberapa minggu yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, hari ini yang turut dihadiri antaranya ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) iaitu Exco dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor (SPRM) Datuk Alias Salim.

Pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai bermula 2 Jan lepas hingga 31 Mac depan dan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan 30 butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

Sistem berkenaan dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

Sementara itu, Amirudin berkata sesi lafaz ikrar bebas rasuah hari ini, menjadi bukti usaha kerajaan negeri yang sentiasa memandang serius terhadap komitmen kerajaan Pusat dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

“Keterbukaan dan sifat kebertanggungjawaban yang dipamerkan oleh kepimpinan kerajaan Selangor dalam menandatangani ikrar bebas rasuah juga, turut membuktikan bahawa usaha membanteras dan memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab eksklusif SPRM semata-mata.

“Sebaliknya ia merupakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh seluruh ahli masyarakat, khususnya dalam kalangan warga yang berkhidmat di agensi kerajaan, bagi memastikan negara ini bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This