Persetujuan Sarawak-Petronas pencapaian penting selesai isu minyak, gas, cukai jualan negeri — Abang Johari

Persetujuan Sarawak-Petronas pencapaian penting selesai isu minyak, gas, cukai jualan negeri — Abang Johari

KUCHING,. Persetujuan antara Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) hari ini menjadi satu pencapaian penting dalam mencapai penyelesaian mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di negeri ini selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata dengan adanya penyelesaian seumpama ini, suasana perniagaan dan pelaburan yang lebih stabil dapat diwujudkan bagi memacukan lagi industri berkenaan di Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

“Kerajaan Negeri Sarawak merupakan sebuah kerajaan yang praktikal dan ingin meyakinkan pemain industri minyak dan gas bahawa ia sentiasa bersifat mesra perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS dalam rundingan seterusnya bagi menentukan semua pihak dapat mencapai penyelesaian dan persetujuan bagi isu-isu lain yang berkaitan.

Kenyataan itu dibuat susulan kenyataan bersama yang dibuat antara Kerajaan Sarawak dan Petronas hari ini yang mengumumkan persetujuan dalam rundingan mereka mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di negeri ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri – Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh.

Ia menyatakan persetujuan kedua-dua pihak bahawa pendekatan yang terbaik dalam mencapai penyelesaian bersama ialah melalui penyelesaian komersial bagi mewujudkan suasana perniagaan dan pelaburan yang lebih stabil.

“Ia merupakan pendekatan yang mampan bagi membolehkan kelangsungan industri minyak dan gas negara terutamanya dalam keadaan pasaran minyak dan gas yang tidak menentu pada masa ini,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Petronas bersetuju akan menarik balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak mengenai permohonan Semakan Kehakiman pada 13 Mac 2020 dan Kerajaan Negeri Sarawak juga akan menggugurkan kesemua tuntutan dalam kes sivil terhadap Petronas untuk bayaran cukai jualan ke atas produk petroleum.

Bagi memastikan pelaksanaan penyelesaian komersial berkenaan, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah dipertanggungjawabkan untuk mempengerusikan jawatankuasa bersama bagi tujuan ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This