Pertuduhan pertama kesalahan menghendap pembuka mata kepada masyarakat

Pertuduhan pertama kesalahan menghendap pembuka mata kepada masyarakat

SEREMBAN,. Pertuduhan pertama di mahkamah terhadap seorang lelaki semalam bagi kesalahan menghendap di bawah Akta Anti-Menghendap merupakan pembuka mata dan pengajaran kepada mana-mana individu lain agar tidak mengulangi perbuatan sama.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata dengan pertuduhan itu, kegiatan tersebut tidak lagi dapat dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerana terdapat undang-undang ketat yang bakal dikenakan terhadap pesalah.

“Kita lega kerana akhirnya Akta Anti-Menghendap dikuatkuasakan, walaupun sebelum ini telah diluluskan tapi prosedur operasi standard (SOP) belum sempurna, maka sebab itu tindakan belum dapat diambil (terhadap individu menghendap). Alhamdulillah ia (hari ini) kes pertama melibatkan akta tersebut dikemukakan di mahkamah.

“Kebanyakan kes berkenaan melibatkan kaum wanita, jadi ia juga sebagai galakan kepada mereka untuk melaporkan kes ini…Ada juga kes mungkin berlaku kepada lelaki, kita tak tahu, jadi jika merasa tertekan disebabkan tindakan seseorang, maka kita ada hak untuk ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Anti Gangguan Seksual yang turut dihadiri Timbalannya, Aiman Athirah Sabu di sini hari ini.

Hari ini, seorang lelaki berusia 37 tahun yang juga perunding pengurusan acara sambilan didakwa di Mahkamah Majistret di Shah Alam atas kesalahan mengganggu jurugambar wanita selama lapan tahun, sekali gus menjadikan dia sebagai individu pertama dituduh di bawah kesalahan menghendap.

Dalam pada itu, beliau berkata ada mangsa yang tidak melaporkan kes menghendap atau gangguan seksual kerana merasa takut berikutan pelakunya mungkin individu yang berkuasa atau majikan sehingga mengakibatkan mangsa hilang keyakinan diri, trauma berpanjangan malah cenderung melakukan perkara yang lebih buruk.

“Akta Anti-Menghendap telah bermula, sekarang ada Akta Antigangguan Seksual, jadi pihak terkesan sila tampil, jangan takut kerana kita ada undang-undang. Saya nak tekankan bahawa mangsa tidak keseorangan, kita akan lindungi mereka,” katanya dan menambah sebanyak 506 kes gangguan seksual direkodkan pada 2021.

Sementara itu, Nancy berkata beberapa premis untuk dijadikan pejabat atau pusat operasi tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual sudah dikenal pasti dan menunggu kelulusan daripada pihak terbabit sebelum ia dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Jelasnya, tribunal berkenaan bertanggungjawab untuk mendengar dan melaksanakan proses pendakwaan atau pengadilan terhadap setiap aduan berkaitan gangguan seksual.

Mengenai program Advokasi Antigangguan Seksual, beliau berkata ia antara lain bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat selain menyampaikan maklumat berkenaan bantuan dan perkhidmatan psikososial yang disediakan bagi menangani isu tersebut.

Menurutnya, ia juga bagi memberikan kesedaran dan pendidikan mengenai gangguan seksual supaya budaya menormalisasikan perkara sedemikian dihapuskan dengan inisiatif termasuk menyediakan platform latihan untuk pekerja sosial dan sukarelawan serta meningkatkan pengetahuan di tempat kerja. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This