PIP akan lengkapkan operasi NBCT Pulau Pinang
GEORGE TOWN,. Perlis Inland Port (PIP) akan melengkapkan Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) Pulau Pinang apabila ia memulakan operasi fasa pertama tahun depan, seterusnya memberikan rangsangan tambahan kepada sektor logistik koridor utara.
Projek PIP, bertujuan menjadikan Perlis sebagai bandar sempadan dan hab logistik antarabangsa, akan dilaksanakan melalui perkongsian awam-swasta.
Kerajaan Persekutuan, melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan mengendalikan pembangunan infrastruktur luar manakala Mutiara Perlis Sdn Bhd, daripada sektor swasta, akan membangunkan pelabuhan itu dan komponen lain yang berkaitan.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Mutiara Perlis Azim Kazim Shabaruddin berkata Terminal Kargo Padang Besar kini antara pintu masuk utama perdagangan rentas sempadan dan kebanyakan kontena telah menuju ke NBCT.
“Apabila kami memulakan operasi, kami merancang untuk meningkatkan kecekapan pengendalian kargo, yang akan membawa kepada peningkatan jumlah kontena menuju ke Penang Port,” katanya kepada Bernama di gerai jualan Mutiara Perlis pada Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini hari ini.
Azim berkata siapnya fasa pertama pembangunan PIP akan menyaksikan jumlah pengendalian kontena meningkat kepada hampir 300,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun.
Apabila PIP meneruskan operasinya dan melangkah ke hadapan dengan fasa kedua dan ketiga, beliau menjangka pelabuhan itu akan mengendalikan lebih satu juta TEU setahun.
“Satu juta TEU kelihatan mencabar tetapi saya yakin, ia boleh dicapai. Kami menjangka kontena dari Bangkok, Laos dan sebahagian kawasan di China akan menggunakan PIP sebelum menuju ke pelabuhan pilihan mereka sama ada di Pulau Pinang atau Singapura.
“Kemudahan kami direka untuk memenuhi keperluan rentas sempadan dan kewujudannya akan melengkapkan pelabuhan lain,” katanya.
Azim berkata Mutiara Perlis giat mengadakan perbincangan dengan Penang Port untuk memastikan reka bentuk PIP sepadan dengan infrastruktur di NBCT, bagi memenuhi keperluan pelanggan dari Selatan Thailand.
Beliau berkata menjalin kerjasama strategik dengan Penang Port adalah ideal, membolehkan mereka mewujudkan kawasan khas untuk kargo yang akan dihantar ke NBCT.
— BERNAMA