PJD Link Rancang Penyenaraian Di Bursa Malaysia Melalui RTO

PJD Link Rancang Penyenaraian Di Bursa Malaysia Melalui RTO

KUALA LUMPUR – PJD Link (M) Sdn Bhd (PJD Link), pemegang konsesi bagi cadangan Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link Expressway) merancang penyenaraian di Bursa Malaysia Securities Bhd melalui pengambilalihan terbalik (RTO) Scomi Energy Services Bhd yang tersenarai di pasaran utama.

Dalam satu kenyataan, PJD Link berkata, syarikat itu dan pemegang sahamnya, PJD Link Holdings Sdn Bhd dan Noblemax Resources Sdn Bhd telah memeterai perjanjian rangka kerja (FA) dengan Scomi Energy Services bagi cadangan pengambilalihan PJD Link tersebut pada harga indikatif kira-kira RM922 juta.

Ia berkata, pihak yang terbabit dijangka menandatangani perjanjian muktamad untuk cadangan pengambilalihan itu dalam tempoh 60 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif PJD Link Expressway, Amrish Hari Narayanan berkata, FA tersebut adalah langkah penting untuk penyenaraian dan selepas menjadi syarikat tersenarai, syarikat itu akan dapat memanfaatkan pasaran modal ekuiti untuk mendapatkan pembiayaan bagi pembangunan dan pembinaan PJD Link Expressway.

“Selain itu, pelaporan prestasi kami mengikut keperluan penyenaraian Bursa Malaysia, ia akan meningkatkan tahap ketelusan dan tadbir urus kepada orang ramai,” katanya.

PJD Link Expressway adalah lebuh raya berkembar empat lorong sepanjang 25.4 kilometer yang akan bermula selepas Plaza Tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Lebuhraya Sprint), Damansara dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

Setelah siap, Lebuhraya PJD Link akan memainkan peranan penting dalam menyuraikan kesesakan lalu lintas kerana ia menyediakan sambungan utama dengan enam lebuh raya utama termasuk Lebuhraya NKVE, Lebuhraya SPRINT, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Pantai Baru, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Bukit Jalil.

PJD Link menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan pada 5 April, 2022.

– Bernama

CATEGORIES
Share This