PKPB Klang hanya libat mukim Klang, pelabuhan beroperasi seperti biasa

PKPB Klang hanya libat mukim Klang, pelabuhan beroperasi seperti biasa

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang, Selangor yang berkuatkuasa mulai tengah malam ini (9 Okt), hanya melibatkan kawasan di mukim Klang sahaja, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata selain itu, kerajaan Persekutuan masih berbincang dengan kerajaan Selangor mengenai kawasan dan lokaliti yang terlibat, dan akan diumumkan setelah ditentukan kelak.

Ismail Sabri berkata mesyuarat juga bersetuju membenarkan Pelabuhan Klang beroperasi seperti biasa, manakala aktiviti ekonomi juga dibenarkan beroperasi mengikut masa yang ditetapkan.

“Pasar Borong, beroperasi bermula 4 pagi sehingga 2 petang; Pasar Biasa bermula 6 pagi hingga 2 petang; Pasar Tani, 6 pagi hingga 12 tengah hari; manakala operasi pasar malam adalah tidak dibenarkan.

“Kedai-kedai makan, gerai dan warung juga boleh dibuka tetapi terhad dari jam 6 pagi sehingga 10 malam dan hanya untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta bawa pulang sahaja,” katanya dalam sidang media secara maya dari kediamannya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This