Polis tahan empat individu, rampas lebih 2 kg heroin base bernilai RM195,000

Polis tahan empat individu, rampas lebih 2 kg heroin base bernilai RM195,000

ALOR SETAR,. Polis menahan tiga individu dan merampas 2.25 kilogram (kg) “heroin base” bernilai RM195,000 dalam serbuan di Pendang pada 24 Julai lepas dan menahan seorang lagi di Pulau Pinang 10 jam kemudian.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata operasi dilakukan hasil risikan pihaknya berhubung aktiviti pengedaran dadah oleh empat suspek tersebut yang kesemuanya berusia antara 36 hingga 49 tahun.

Katanya, serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 7 malam pada 24 Julai lepas di sebuah bengkel di Kampung Lubok Rambutan, Pendang, dengan tiga suspek ditahan dan satu bungkusan plastik hitam mengandungi enam ketulan mampat “heroin base” seberat 2.25 kg ditemukan.

“Rentetan itu, seorang lagi suspek ditahan di Pulau Pinang keesokannya kira-kira pukul 5.10 pagi kerana disyaki terlibat kes sama. Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,708 daripada suspek tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, semua suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian air kencing dijalankan, direman tujuh hari bermula Ahad lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis percaya dadah yang dirampas ini akan diproses sebelum diedarkan kepada penagih dadah di negeri ini dan negeri jiran… kita sedang mengesan penglibatan ahli sindiket lain,” katanya yang turut menyatakan kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata pihaknya menahan 7,485 individu yang terlibat dengan kesalahan berkaitan dadah di negeri ini sejak 1 Jan hingga 25 Julai.

Katanya, daripada jumlah itu 1,988 individu merupakan pengedar dadah manakala 5,497 orang adalah penagih dadah.
“Kita juga merampas dadah heroin sebanyak 48.4 kg, 35.4 kg syabu, 278 kg ganja selain daun ketum seberat 38 kg dalam tempoh tersebut dengan nilai keseluruhan kira-kira RM3.1 juta,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )