Populasi orang asli Australia dijangka cecah angka sejuta dalam tempoh sembilan tahun

Populasi orang asli Australia dijangka cecah angka sejuta dalam tempoh sembilan tahun

CANBERRA, 29 Ogos — Populasi orang asli Australia dijangka meningkat sebanyak 25 peratus dalam tempoh sembilan tahun akan datang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Biro Statistik Australia (ABS).

Jumlah Orang Asli dan penduduk Selat Torres akan mencecah sejuta dalam tempoh sembilan tahun akan datang, meningkat daripada 800,000 orang ketika ini.

Bagaimanapun, bahagian golongan warga emas berusia 65 tahun ke atas dijangka meningkat sekali ganda daripada empat kepada lapan peratus menjelang 2031.

Ia turut mengunjurkan bahawa 40 peratus orang asli Australia akan tinggal di sebuah bandar besar menjelang 2031, meningkat daripada 37 peratus pada 2016, manakala jumlah penduduk yang tinggal di kawasan terpencil akan merosot daripada 19 kepada 15 peratus.

“Antara perkara paling besar berkaitan perubahan populasi ialah lebih ramai orang asli di sekolah tinggi dan mengikuti pengajian di peringkat tinggi serta menjadi golongan profesional dalam arus perdana Australia.

“Jadi, ia adalah satu perkara yang baik untuk kita memiliki kepelbagaian itu,” kata Lisa Jackson Pulver, timbalan naib canselor strategi orang asli di Universiti Sydney kepada News Corp Australia.

Data yang dikeluarkan ABS pada November menunjukkan bahawa tempoh jangka hayat bagi orang asli dan penduduk pulau Selat Torres Australia pada 2015 hingga 2017 ialah 75.6 tahun bagi wanita dan 71.6 tahun bagi lelaki.

Jangka hayat bagi orang asli yang tinggal di pedalaman dan kawasan terpencil pula ialah 69.6 tahun bagi wanita dan 65.9 tahun bagi lelaki.

“Jangka hayat ketika lahir lelaki orang asli bagi tempoh 2015 hingga 2017 ialah 8.6 tahun lebih rendah berbanding lelaki bukan orang asli manakala bagi wanita ialah 7.8 tahun lebih rendah berbanding wanita bukan orang asli,” kata Anthony Grubb, pengarah Demografi ABS, pada masa itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This