PRN Sarawak ambil kira maklum balas keberkesanan SOP PRN Melaka

PRN Sarawak ambil kira maklum balas keberkesanan SOP PRN Melaka

KUALA LUMPUR,. Prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan turut mengambil kira maklum balas keberkesanan SOP di PRN Melaka, Sabtu lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sedang merangka SOP pencegahan COVID-19 bagi PRN Sarawak dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Beliau berkata SOP itu akan diumumkan apabila ia dimuktamadkan kelak.

“Ura-ura untuk mengadakan pilihan raya di Sarawak telah lama diadakan, oleh kerana berlakunya darurat, maka ia (PRN) tidak boleh dilaksanakan…persediaan di negeri Sarawak jauh lebih teratur daripada yang kita lihat berkemungkinan berlaku di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), akan mempunyai kesalinghubungan digital dalam memotong nama pengundi yang meninggal dunia secara automatik.

“Dari sudut undang-undang, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama individu yang telah disenarai dalam daftar pemilih, itulah kenapa apabila berlaku kematian, kalau ia tidak dilapor kepada JPN, tidak ada perhubungan kepada SPR,” katanya.

Dalam pada itu katanya pihak SPR turut mengambil maklum berhubung cadangan melaksanakan kertas undi berwarna, bagi memudahkan pengundi membuat pilihan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This