Program ‘Kindness and Support’ bantu Uzbekistan hadapi kesan COVID-19

Program ‘Kindness and Support’ bantu Uzbekistan hadapi kesan COVID-19

KUALA LUMPUR, 30 April — Kerajaan Uzbekistan mewujudkan program dikenali ‘Kindness and Support’ dalam usaha membantu negara mendepani kesan wabak COVID-19.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama, Kedutaan Uzbekistan di Malaysia berkata inisiatif itu – hasil idea Presiden Shavkat Mirziyoyev – bertujuan memastikan bekalan makanan dan kemudahan perubatan mencukupi kepada golongan memerlukan termasuk yang tidak mempunyai pekerjaan.

Ia juga bertujuan mendorong usahawan membantu keluarga yang memerlukan di kawasan kejiranan mereka – terutamanya pada Ramadan.

“Sebagai ganjaran, kerajaan akan memberikan beberapa inisiatif termasuk pilihan kredit dan akses kepada sumber yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Mirziyoyev – ketika berucap di Mesyuarat Kemuncak Luar Biasa Majlis Turki – mengusulkan pembentukan satu sistem pemantauan epidemiologi dalam kerangka majlis itu.

Beliau berkata pertukaran maklumat dalam aspek pencegahan, diagnosis, rawatan penyakit berjangkit yang berbahaya, kajian epidemiologi dan penyelidikan saintifik di bidang ini, wajar diwujudkan di antara kementerian kesihatan dalam kalangan negara anggota.

Sidang Kemuncak itu diadakan melalui persidangan video pada 10 April lalu, disertai tujuh ketua negara yang menganggotai majlis berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This