Ringgit dibuka tidak berubah

Ringgit dibuka tidak berubah

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar US hari ini, berikutan pengukuhan unit mata wang negara maju tersebut.

Pada 9.04 pagi, ringgit berada di paras 4.1770/1810 berbanding dolar US daripada 4.1770/1800 sewaktu ditutup pada Isnin.

Perubahan mendadak sentimen pasaran susulan hantaran Twitter Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, kejutan tindak balas tarif segera yang ketara telah menyukarkan usaha menumpukan aspek struktur ekonomi makro, kata Maybank dalam satu nota penyelidikan hari ini.

“Ini hanya menambahkan kekeliruan di pasaran minyak yang disusuli dengan ketidaktentuan,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1928/1982 daripada 5.1970/2024 dan naik berbanding yen kepada 3.8802/8850 daripada 3.8849/8891, sebelum ini.

Ia bagaimanapun rendah berbanding euro kepada 4.5905/5953 daripada 4.5863/5913 dan susut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.0316/0348 daripada 3.0301/0325.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This