Ringgit rendah pada pagi ini

Ringgit rendah pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat apabila petunjuk bercampur-campur daripada pasaran ekuiti terus menyokong mata wang AS, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.01 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.1910/1935 berbanding dolar AS daripada 4.1925/1950 pada penutupan Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata aktiviti penjualan membabitkan ekuiti AS menunjukkan peserta pasaran semakin berhati-hati terhadap prospek kadar faedah yang lebih tinggi.

Hasil nota Perbendaharaan AS 10 tahun juga turun kepada 1.78 peratus, mencadangkan bahawa pelabur mungkin beralih kepada aset bebas risiko untuk mendapatkan perlindungan daripada situasi tidak menentu yang kian ketara.

Beliau berkata, mod penghindaran risiko sedemikian jelas menguntungkan dolar AS dengan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 95.735 mata.

“Berikutan ini, ringgit/dolar AS dijangka bersandar pada trajektori yang lebih lemah hari ini.

“Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75 peratus juga menunjukkan bahawa BNM tidak tergesa-gesa untuk menaikkan OPR dan ini membayangkan bahawa ringgit boleh kekal lemah dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Secara keseluruhan, mata wang tempatan itu didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit lebih tinggi berbanding euro kepada 4.7371/7405 daripada 4.7521/7555 pada penutup Khamis dan meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.1097/1124 daripada 3.1103/1130.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain pada 5.6931/6971 daripada 5.7066/7107 semalam tetapi rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6831/6861 daripada 3.6640/6670 sebelumnya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This