Sabah Turut Sekat Pemegang Pas Jangka Panjang Bagi Tiga Negara

Sabah Turut Sekat Pemegang Pas Jangka Panjang Bagi Tiga Negara

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk menyekat kemasukan pemegang Pas Jangka Masa Panjang bagi warganegara India, Indonesia dan Filipina berkuat kuasa 7 September ini.

Kemasukan itu sama ada melalui udara, air dan darat ke negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, langkah itu selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan persekutuan pada 1 September lalu.

Sekatan Pas Lawatan Jangka Panjang bagi warganegara India, Indonesia dan Filipina yang TIDAK DIBENARKAN adalah seperti berikut:
(i). Pemastautin Tetap (PR)
(ii). Pas Program Malaysia My Second Home (MM2H)
(iii). Semua Ekspatriat
(iv). Pas Residen
(v). Pas Suami / Isteri / Anak kepada Warganegara
(vi). Pas Pelajar
(vii). Pas Lawatan Kerja Sementara

Dalam pada itu, kerajaan negeri melalui Pusat Arahan Covid-19 juga memutuskan untuk tidak membenarkan warganegara asing lain yang bermastautin atau mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang di negara India, Indonesia dan Filipina masuk ke Sabah.

Katanya, pengecualian sekatan kemasukan ke bagi warganegara India, Indonesia dan Filipina hanya diberikan kepada kategori anak kapal yang masuk bagi menjalankan aktiviti sign-on atau joint ship.

Untuk itu, Mohd Shafie mengingatkan rakyat Sabah supaya sentiasa mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk memainkan peranan masing-masing dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan penuh tanggungjawab.

-BorneoToday

CATEGORIES
Share This