Simpanan Shariah: KWSP perkenal akses lebih pantas, pengaktifan bulanan

Simpanan Shariah: KWSP perkenal akses lebih pantas, pengaktifan bulanan

KUALA LUMPUR,. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memperkenalkan dua ciri utama bagi kemudahan Simpanan Shariah dengan akses lebih pantas dan fleksibel untuk ahlinya berkuat kuasa pada 1 April, 2025.

Dalam kenyataannya hari ini, dana persaraan itu berkata penambahbaikan berkenaan juga membolehkan pendaftaran Simpanan Shariah dibuat secara serta-merta untuk ahli baharu manakala tarikh kuat kuasa setiap awal bulan bagi semua ahli yang memilih untuk beralih kepada simpanan terbabit.

“Menerusi ciri baharu bagi pendaftaran Simpanan Shariah, ahli KWSP baharu kini boleh memilih simpanan itu sebagai akaun pilihan mereka semasa (melakukan) pendaftaran kendiri,” katanya.

Sebelum ini, perubahan kepada Simpanan Shariah hanya berkuat kuasa pada 1 Januari tahun berikutnya.

Namun, menerusi penambahbaikan ini, tarikh kuat kuasa akan jatuh pada hari pertama bulan berikutnya, tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari, sekali gus membolehkan ahli beralih kepada akaun patuh Syariah dengan lebih cepat.

“Pembaharuan ini dapat memendekkan lagi tempoh menunggu dari tahunan kepada bulanan dan memastikan pelaburan ahli patuh syariah dengan lebih awal.

“Penambahbaikan ini memberi ahli (dari segi kemudahan) kawalan dan fleksibiliti lebih besar, memudahkan mereka menguruskan simpanan persaraan selaras dengan keutamaan kewangan dan pilihan simpanan patuh Syariah,” katanya.

KWSP akan melaksanakan penambahbaikan itu berdasarkan tempoh peralihan dari tarikh 25 Dis, 2024 hingga 31 Mac, 2025 bagi memastikan kelancaran inisiatif berkenaan.

Dalam tempoh itu, tarikh kuat kuasa bagi ahli yang ingin beralih sebelum 25 Dis, 2024 adalah pada 1 Jan, 2025.
Mereka yang memilih tempoh antara 25 Dis, 2025 hingga 24 Mac, 2025 pula akan menyaksikan tarikh kuat kuasa pada 1 April, 2025 manakala bagi tempoh 25 Mac hingga 31 Mac, 2025 pula adalah pada 1 Mei, 2025.

Selain itu, bagi mereka yang beralih mulai 1 April, 2025 dan seterusnya tarikh kuat kuasa adalah pada 1 haribulan berikutnya selepas tarikh membuat pilihan, tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari.

“Sebagai contoh, ahli yang memilih untuk beralih ke Simpanan Shariah pada 15 April, 2025, tarikh kuat kuasanya pada 1 Mei, 2025.

“Jika ahli memilih beralih pada 25 April, 2025, (maka) tarikh kuat kuasa pada 1 Jun, 2025 dan bukannya 1 Mei, 2025, setelah mengambil kira tempoh tangguh tujuh hari itu,” kata KWSP.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This