Suspek kes bunuh wanita dibungkus selimut direman seminggu

Suspek kes bunuh wanita dibungkus selimut direman seminggu

KUALA LUMPUR,. Seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat kes bunuh seorang wanita yang mayatnya ditemui berbungkus dalam selimut di sebuah pangsapuri di Prima Damansara, Petaling Jaya, Rabu lepas, direman tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din ketika dihubungi berkata suspek direman mulai Ahad sehingga Sabtu depan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Semalam, polis telah menahan suspek pada kira-kira 1.30 pagi selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan.
Pada Rabu lepas, mayat seorang wanita ditemui berbungkus dalam selimut yang diletakkan dalam timbunan bantal di pangsapuri berkenaan.

Hasil bedah siasat polis sebelum ini mendapati wanita itu dipercayai mati akibat sesak nafas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This