Tahap kecergasan skuad ragbi wanita tidak memuaskan

Tahap kecergasan skuad ragbi wanita tidak memuaskan

KUALA LUMPUR,. Kecergasan dan prestasi semasa skuad ragbi wanita tujuh sepasukan (7’s) negara berada pada tahap tidak memuaskan meskipun sudah hampir tiga bulan menjalani latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini.

Perkembangan itu disahkan ketua jurulatih negara Nik Safuan Ismade Nik Man berdasarkan keputusan ujian kecergasan anak buahnya yang dilakukan 15 Sept lalu.

Beliau berkata perkara itu sudah dijangka berikutan kekangan dihadapi pasukannya dalam melengkapkan program latihan susulan ketiadaan sebarang kejohanan ketika ini.

“Memandangkan tiada kejohanan, barisan kejurulatihan telah menyesuaikan program latihan sedia ada dengan menekankan aspek mengukuhkan latihan asas secara umum dan spesifik dalam tempoh Fasa Persediaan Umum (GPP) ini.

“Fokus latihan sekarang lebih kepada untuk tingkatkan tahap kecergasan serta kemahiran asas memandangkan kebanyakan pemain dalam skuad masih baru di peringkat kebangsaan yang mana keperluan itu amat kritikal sebagai persediaan atlet,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemain turut diberikan kelas mengenai peraturan dan undang-undang permainan ragbi bagi memberikan mereka kefahaman semasa perlawanan.

Pada masa sama, beliau berkata skuad kendaliannya terpaksa menunggu lebih lama sebelum dapat beraksi dalam perlawanan ujian yang telah dirancang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri di Semenanjung bermula 9 Nov hingga 6 Dis ini.

Menurut beliau, dua perlawanan ujian skuad kendaliannya yang dijadualkan masing-masing pada minggu kedua November dan minggu pertama Disember terpaksa ditunda sehingga PKPB berakhir.

Skuad ragbi wanita 7’s negara meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2019 di Filipina dan edisi 2017 di Kuala Lumpur.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This