TERAJU, USM adakan Sarawak Week di Arab Saudi pada 16 April

TERAJU, USM adakan Sarawak Week di Arab Saudi pada 16 April

KUCHING,. TERAJU bersama rakan strategiknya, Universiti Sains Malaysia (USM) bakal mengadakan Sarawak Week di Husam Waksa Foodmarket Sdn Bhd, Jeddah, Arab Saudi pada 16 April ini.

Program ini adalah dalam usaha mempromosi pelbagai produk tempatan Sarawak yang premium dan berpotensi besar seperti madu kelulut, lada, gula apong, ikan terubuk masin dan telurnya yang mempunyai nilai keaslian dan keunikan tersendiri.

Usaha yang dilaksanakan ini adalah sebahagian daripada kerjasama strategik di antara Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Jabatan Perdana Menteri dan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM melalui program Sustainable Marketing for Community (SMART Community) di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Sarawak 2020.

DPUB Sarawak 2020 merupakan sebahagian daripada inisiatif Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Third Rolling Plan (RP3) yang bertujuan memperkukuhkan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat melalui sistem kerjasama Quadruple Helix Model yang melibatkan agensi kerajaan, institusi pendidikan, rakan industri dan orang awam.

Dengan mengadapatasi model ini, ia telah memberi impak yang positif kepada usahawan Bumiputera di mana produk komuniti keluaran tempatan telah berjaya dipasarkan bukan sahaja di peringkat domestik malah telah menembusi pasaran antarabangsa seperti Arab Saudi, Jepun, China dan Amerika Syarikat.

Sarawak Week akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Bakal hadir sama pada majlis itu adalah Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi Alauddin Mohd Nor, Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Faizalkhan Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Md Silmi Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM Profesor Dato Dr Abdul Rahman Mohamed dan Pengarah Jaringan Komuniti BJIM Syed Yusof Syed Kechik.

Menurut Syed Yusof yang juga Ketua Program SMART Community: “Kedai Asia yang dibangunkan oleh Husam Waksa Sdn Bhd telah dipilih sebagai rakan strategik di Jeddah, Arab Saudi bagi melancarkan lagi penganjuran Sarawak Week.

“Kedai Asia merupakan entiti pertama perniagaan Malaysia yang berjaya membuka ruang perusahaan runcit di Menara Jam Abraj Al-Bait di Mekah.

“Pemilihan rakan strategik ini dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang Kedai Asia yang telah menerima anugerah Export Award daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia pada 2017 dan anugerah Social Enterprise oleh Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Kedai Asia merupakan kedai runcit milikan pertama anak Malaysia di Arab Saudi dan Negara Teluk bukan sahaja mempunyai kedai secara fizikal, malah turut menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui aplikasi pintar.

Selain itu, margin penjualan produk Sarawak yang ditempatkan di Kedai Asia telah meningkat sebanyak 68.1 peratus kepada aliran pendapatan semasa Husam Waksa Sdn Bhd.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran Sarawak Week di Arab Saudi, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Md Silmi Abdul Rahman berkata: “Projek yang memfokuskan kepada keterangkuman wilayah dan inklusif Bumiputera B40 di Sarawak ini memberi manfaat kepada lebih daripada 233 usahawan Bumiputera berpendapatan rendah (B40) di Sarawak.

“Ini selaras dengan Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB 2030) naskhah Pembangunan Bumiputera sedekad akan datang yang dibangunkan TERAJU dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang memfokuskan sektor keusahawanan sebagai antara usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara amnya sekali gus memanfaatkan ekosistem keusahawanan yang ditawarkan oleh kerajaan sebaiknya,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This