Tindakan pantas juruterbang helikopter hubungi rakan, mudahkan kerja menyelamat

Tindakan pantas juruterbang helikopter hubungi rakan, mudahkan kerja menyelamat

CAMERON HIGHLANDS,. Tindakan pantas juruterbang Kapt Fedzrol Norazam yang menghubungi rakannya memberitahu helikopter dibawanya terhempas, membolehkan pihak berkuasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan pantas.

Fedzrol, 43, merupakan juruterbang helikopter yang membawa lima anggota pasukan perubatan dalam perjalanan pulang dari Gua Musang, Kelantan ke Ulu Kinta, Ipoh, yang terhempas di Hutan Simpan Bukit Kinta, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata melalui maklumat awal yang diperoleh pihaknya, juruterbang berkenaan telah menghubungi rakannya di Ipoh yang kemudian melaporkan perkara itu kepada Jabatan Penerbangan Awam (CAAM).

“Berikutan itu kita telah mendapat maklumat mengenai kedudukan helikopter berkenaan dan operasi mencari dan menyelamat mangsa berusia lingkungan 31 hingga 48 tahun, dapat dijalankan dengan kadar segera,” katanya dalam sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, di sini, malam tadi.

Turut hadir Pegawai Daerah Cameron Highlands Syed Ahmad Khirulanwar Al Yahya Syed Abdul Rahman.

Mohd Yusri berkata ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi nahas, semua mangsa berjaya keluar daripada helikopter dan berada di tempat yang selamat.

“Dua penumpang mengalami kecederaan yang agak teruk, seorang jururawat patah kaki dan seorang cedera di bahagian lutut. Semua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (di sini) dan sedang menerima rawatan di wad kecemasan,” katanya.

Mohd Yusri berkata operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan pada pukul 9 malam, selepas mangsa terakhir dibawa ke hospital.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, helikopter berkenaan berada pada laluannya ketika kejadian bagaimanapun menghadapi cuaca buruk seperti hujan dan berkabus.

“Siasatan lanjut mengenai insiden ini dan kerja-kerja mengeluarkan bangkai pesawat akan dijalankan CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia),” katanya.

Terdahulu, CAAM mengesahkan telah menerima maklumat berhubung kemalangan udara, membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW di Cameron Highlands itu pada 1.03 tengah hari.

Helikopter berkenaan dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This