Unit MISC raih kontrak carter jangka panjang

Unit MISC raih kontrak carter jangka panjang

KUALA LUMPUR, 7 April — Anak syarikat milik penuh MISC Bhd, AET Tanker Holdings Sdn Bhd (AET), melalui entiti yang memiliki kapal AET Inc. Limited, telah mendapat kontrak carter jangka panjang oleh Chartering and Shipping Services SA, anak syarikat milik penuh Total SA (Total).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pengerusi AET dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif MISC Bhd, Yee Yang Chien berkata kontrak itu melibatkan memiliki dan mengendalikan dua pengangkut minyak mentah amat besar (VLCC) gas asli cecair (LNG) yang baru dibina bagi operasi di perairan antarabangsa.

Carter dijangka bermula pada tahun 2022.

AET adalah unit perkapalan petroleum MISC dan mengkhusus dalam pengangkutan minyak petroleum global, sementara Total adalah pemain tenaga utama, yang menghasilkan dan memasarkan bahan api, gas asli dan elektrik rendah karbon.

“Kontrak itu tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar dan pemegangan saham utama dalam MISC, dan ia juga tidak dijangka mempunyai sebarang kesan material terhadap pendapatan sesaham, tahap kadar hutang dan aset bersih sesaham Kumpulan MISC untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2020,” kata MISC.

MISC berkata faktor risiko yang mempengaruhi kontrak, termasuk perubahan dalam persekitaran ekonomi, politik dan pengawalseliaan, dan risiko operasi, dapat dikurangkan secara mencukupi oleh terma dan syarat kontrak itu sendiri.

“Tiada pengarah atau pemegang saham utama MISC atau orang yang mempunyai hubungan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This