Utusan tutup operasi hari ini?

Utusan tutup operasi hari ini?

KUALA LUMPUR,. Lembaga Pengarah Utusan Melayu Berhad (Utusan) dijangka membuat keputusan menutup operasi syarikat itu hari ini.

Dalam satu memo dalaman yang diedarkan kepada staf syarikat pada Rabu, pengerusi eksekutifnya Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation).

“Langkah ini terpaksa diambil oleh kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.

“Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019.

“Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019 manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019,” tulis kenyataan itu lagi.

Abd Aziz juga dilapor berkata syarikat sebelum ini telah membuat segala terdaya bagi menyelamatkan penerbitan akhbar yang tertua di negara ini, namun kesemuanya menemui jalan buntu.

“Syarikat telah berusaha dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi.

“Namun edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan yang gagal dicapai menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat.

“Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak.

“Syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang,” katanya.

Abd Aziz menambah bahawa lembaga pengarah tiada jalan lain melainkan menutup terus operasi dan meletakkan tumpuan kepada usaha menyelesaikan hutang.

CATEGORIES
TAGS
Share This