Vaksinasi populasi dewasa negara capai 80 peratus
KUALA LUMPUR,. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencapai sasaran awal apabila 80 peratus populasi dewasa di Malaysia telah lengkap vaksinasi hari ini.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter rasminya.
“Tahniah! Malaysia mencapai 80 peratus populasi dewasa negara telah lengkap vaksinasi. Teruskan usaha kita perangi COVID-19,” katanya yang turut menyertakan tanda pagar #LindungDiriLindungSemua.
PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas untuk memberikan vaksin kepada orang ramai dalam usaha membendung penularan COVID-19 di seluruh negara.
Di Facebook rasminya pula, Ismail Sabri menyifatkan kejayaan itu adalah hasil pengorbanan para petugas barisan hadapan dan sokongan seluruh Keluarga Malaysia.
“Hasil pengorbanan para petugas barisan hadapan dan sokongan jitu seluruh Keluarga Malaysia dalam mendapatkan vaksin, tidak mengira tua atau muda, baik yang di kota, juga yang di desa, kadar vaksinasi (dewasa) negara akhirnya telah mencapai 80 peratus populasi.
“Tahniah, ini adalah kejayaan kita semua!” katanya.
Sementara itu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang turut berkongsi perkara sama menerusi ciapan di Twitter rasminya berkata sasaran berkenaan dicapai pada pukul 1 tengah hari ini.
“Pada pukul 1 tengah hari ini, Malaysia telah mencapai sasaran 80 peratus penduduk dewasa lengkap menerima vaksin.
“Walaupun sasaran awal adalah 80 peratus populasi dewasa, sekarang @JKJAVMY (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19) akan berusaha untuk menjejaki 20 peratus lagi yang belum atau enggan divaksinasi,” katanya.
– BERNAMA