Vietnam akhirnya menang emas bola sepak Sukan SEA

Vietnam akhirnya menang emas bola sepak Sukan SEA

MANILA,. Vietnam mencipta sejarah mereka tersendiri apabila akhirnya berjaya memenangi pingat emas bola sepak lelaki di Sukan SEA ke-30 selepas mengalahkan Indoensia 3-0 pada perlawanan akhir di Rizal Memorial Stadium, malam ini.

Vietnam kali terakhir memenangi pingat emas sukan dwitahunan itu pada tahun 1959, ketika sukan itu dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP), di bawah bendera Vietnam Selatan.

Sejak itu, Vietnam layak ke perlawanan akhir lima kali sejak 1995, namun gagal membuahkan pingat emas.

Van Hao Doan, 20, yang bermain untuk pasukan teratas Liga Belanda, SC Heerenveen muncul sebagai wira pasukannya, selepas menjaringkan gol melalui tandukan pada minit ke-39 dan gol pada minit ke-73, manakala Hung Dung Do menjaringkan gol pada minit ke-59.

Terdahulu, Myanmar menang gangsa selepas menewaskan Kemboja 5-4 menerusi sepakan penalti, selepas terikat 2-2 pada masa penuh perlawanan.

Kemenangan Vietnam ini juga menyaksikan sebuah negara baharu memenanginya buat kali pertama selepas 30 tahun di sukan dwitahunan itu, selepas Thailand memenanginya 11 kali sejak 1993 manakala Malaysia memenanginya pada tahun 2009 dan 2011.

Kedua-dua pasukan finalis edisi lepas, iaitu Thailand (Emas) dan Malaysia (perak) dua tahun lepas, mengakhiri kempen mereka dengan keputusan memalukan, selepas masing-masing gagal melepasi peringkat kumpulan di Manila.

Sementara itu Vietnam juga meraikan kemenangan pasukan bola sepak wanita mereka, dengan menewaskan Thailand 1-0 dua hari lepas, untuk mengekalkan gelaran mereka.

Tidak seperti pasukan lelaki, pasukan bola sepak wanita Vietnam telah memenangi pingat emas sebanyak enam kali daripada 11 kali mereka mengambil bahagian di Sukan SEA sejak 1985.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This