Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan beri suntikan baharu kepada ekonomi negara

KUALA LUMPUR,. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan memberi suntikan baharu supaya ekonomi Malaysia melonjak kepada ekonomi berpendapatan tinggi di samping memperkasa kuasa beli rakyat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata wawasan itu, yang akan dilancarkan esok, turut bertujuan merapatkan jurang pendapatan dan pembangunan antara kelas, kaum dan wilayah.

“Ia akan memacu pembangunan negara secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif buat semua rakyat Malaysia ketika negara berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia akibat perang perdagangan.

“Wawasan ini akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan serta menyuburkan perpaduan dalam kalangan rakyat serta memantapkan kestabilan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata wawasan yang dicetuskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga merupakan satu paradigma yang akan memandu pembangunan sosio-ekonomi negara sehingga 2030.

Beliau berkata keindahan Kemakmuran Bersama akan menyerlah apabila jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan dirapatkan dalam konteks ekonomi yang terus berkembang.

“Walhasil, Wawasan Kemakmuran Bersama adalah fajar yang terbit dalam era Malaysia Baharu demi menjamin pembelaan dan mengangkat martabat rakyat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )