1.6 juta penjawat awam dikekalkan

1.6 juta penjawat awam dikekalkan

SANDAKAN,. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata seramai 1.6 juta penjawat awam akan dikekalkan meskipun kerajaan melaksanakan sistem pendigitalan dalam pentadbiran (e-government) kelak.

Menurut beliau, pelaksanaan sistem itu adalah untuk meningkatkan keberkesanan, produktiviti dan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Katanya, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 yang menuntut perlunya inovasi dilakukan dalam perkhidmatan awam dan kerajaan komited ke arah itu.

“Seperti contoh kalau sebelum ini sesuatu tugas itu dikendalikan oleh tiga orang pekerja, tetapi bila sistem e-government dilaksanakan, hanya memerlukan seorang pekerja sahaja. Dua pekerja lagi boleh ditugaskan untuk kerja yang lain.

“Oleh itu, pelaksanaan e-government ini tidak sepatutnya dikaitkan dengan pengurangan kerja kerana pada akhirnya teknologi pendigitalan adalah sesuatu yang tidak boleh dielak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Persekutuan Negeri Sabah di Dewan Angsana, Pejabat LHDN Sandakan di sini semalam.

Hadir sama, isteri Muhyiddin, Puan Sri Datin Paduka Hajah Noorainee Haji Abdul Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Makanan merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Samsuni Mohd Noor.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai prestasi semasa penjawat awam, beliau menyatakan rasa berpuas hati bagaimanapun yakin mereka boleh mempertingkat lagi mutu dan prestasi sedia ada.

Jelasnya, pelaksanaan proses pendigitalan kelak juga adalah antara penyumbang ke arah nilai tambah tugas sebagai penjawat awam.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata penjawat awam tidak boleh bertindak seperti biasa ketika keadaan negara masih berdepan dengan wabak COVID-19.

Jelasnya, penjawat awam tidak sepatutnya mengecewakan rakyat, sebaliknya perlu bertindak luar biasa dengan memudahkan urusan rakyat.

“Penjawat awam yang kembali bekerja di pejabat perlu mencari jalan untuk memudahkan urusan rakyat. Seperti contoh kalau proses permohonan lesen itu mengambil masa yang lama sampai setahun, apa Makcih Kiah mahu makan?.

“Dan, apabila saya tanya kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) selaku PBT di Sandakan mengenai langkah yang mereka ambil, Presidennya, Wong Foo Tin beritahu pihaknya tawarkan perniagaan lantai (bussiness floor) kepada peniaga yang berminat. Ini satu inisiatif yang baik untuk bantu peniaga kecil-kecilan,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This