Trend pemulihan ekonomi berterusan bukti kejayaan dasar kerajaan

Trend pemulihan ekonomi berterusan bukti kejayaan dasar kerajaan

KUALA LUMPUR,. Trend pemulihan ekonomi negara yang berterusan adalah bukti jelas bahawa dasar kerajaan telah membuahkan hasil walaupun dalam keadaan yang amat mencabar, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata melangkah kehadapan dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan peningkatan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ekonomi Malaysia dijangka beransur pulih.

“Hari ini, kita telah mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021,” katanya dalam ucapan khas Bersama Memulihkan Negara yang disiarkan di stesen televisyen tempatan, hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) semasa mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2021 hari ini berkata pembukaan semula ekonomi akan menyokong pemulihan secara beransur-ansur pada suku keempat tahun ini.

Pemulihan dijangka terus pesat pada 2022 disokong oleh kegiatan ekonomi yang beransur-ansur kembali normal serta limpahan kesan positif daripada permintaan luaran yang terus meningkat.

Muhyiddin berkata perkembangan ini disokong oleh Belanjawan 2021, serta pakej-pakej rangsangan dan bantuan Kerajaan.

“Pasaran kewangan dan modal kita juga menunjukkan daya tahan yang baik pada suku kedua 2021.

“Sasaran 50 peratus populasi dewasa negara divaksinasi sepenuhnya pada akhir Ogos akan membolehkan negara membuka semula kegiatan ekonomi dan sosial secara lebih meluas untuk memacu pemulihan ekonomi negara.

“Saya amat percaya, kita akan dapat memulihkan negara ini bersama-sama dan mengembalikan semula kegemilangannya,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata bagi mendukung prinsip “Whole of Government” dan “Whole of Society” dalam memerangi pandemik COVID-19, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambah baik PPN.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan telah meneliti dan bersetuju untuk menerima beberapa cadangan dan input yang telah diutarakan.

“Sejajar dengan cadangan yang telah diterima, kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion daripada RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion,” tambahnya.

Muhyididn berkata, bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang COVID-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya dalam meraih peluang ekoran pembukaan semula ekonomi selaras dengan pelaksanaan PPN.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This