131 anggota, veteran ATM terkesan banjir di Kelantan dan Terengganu – Adly
KOTA BHARU,. Sebanyak 131 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terkesan dengan banjir di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Beliau berkata jumlah itu melibatkan 49 anggota di bawah Briged Kelapan Infantri Malaysia, 47 veteran di Kelantan dan 35 veteran di Terengganu.
“Bagi veteran ATM, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan meneliti beberapa aspek untuk bantuan, iaitu dari segi pembaikan rumah dan keperluan selepas banjir.
“Setakat ini, pihak kami tidak menerima laporan aset dan kem tentera rosak serta ditenggelami banjir,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja pascabanjir di Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa, di sini hari ini, yang turut dihadiri Panglima Briged Kelapan Infantri Brig Jen Muzamil Ali.
Mengenai situasi banjir di Johor, Adly berkata 279 pegawai dan anggota serta beberapa aset tentera seperti lori dan bot diatur gerak ke lokasi terlibat untuk membantu mangsa.
“Kementerian Pertahanan menetapkan hampir 18,000 anggota untuk persediaan banjir di seluruh negara.
“Oleh itu, untuk banjir di Johor juga kita akan tengok keperluan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada kawasan yang terlibat untuk menempatkan anggota,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Adly berkata sebanyak 33,042 veteran ATM telah menerima manfaat Skim Bantuan Kebajikan JHEV dengan jumlah bantuan keseluruhan bernilai lebih RM62.5 juta.
“Skim ini merupakan program bantuan kewangan bagi menjaga kebajikan veteran ATM dan tanggungan mereka yang berkelayakan agar dapat memperbaik dan menjalani kehidupan lebih selesa.
“Selain itu, Program Peduli Veteran di seluruh negara akan diteruskan dengan sasaran sekurang-kurangnya 800 program dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan semua veteran ATM dapat menikmati bantuan dan kemudahan yang disediakan,” katanya.
— BERNAMA