Anggota tentera sertai eksesais dikhuatiri lemas di Sungai Pahang

Anggota tentera sertai eksesais dikhuatiri lemas di Sungai Pahang

KUANTAN,. Seorang anggota tentera yang terlibat dalam latihan Eksesais Para Predator di Kampung Batu Bor, Bera, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang kelmarin.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan semalam berkata Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, iaitu anggota tinjau Kompeni PANDURA dipercayai hilang pada 4.40 petang semasa melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai tersebut.

“TDM telah menggerakkan anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak 4.50 petang semalam (kelmarin), sebelum ditangguhkan pada 7 malam hari sama ekoran cuaca yang semakin gelap. Setakat ini, operasi yang disambung hari ini masih belum menemukan mangsa,” menurut kenyataan itu.

Operasi SAR turut disertai bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk setempat.

TDM juga berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu misi pencarian ini serta bagi menjaga perasaan waris mangsa yang terlibat.

Eksesais Para Predator merupakan latihan berskala besar selama dua minggu bermula Selasa lepas, adalah satu daripada eksesais dilaksanakan TDM melalui 10 Briged (PARA) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka dengan penglibatan hampir 1,900 pegawai dan anggota.

Latihan yang diadakan di pesisiran Sungai Pahang itu juga bertujuan memberikan pendedahan keadaan ancaman sebenar melalui latihan, gambaran kesiagaan dan keupayaan sebenar atur gerak TDM selain mendidik serta berkongsi pengetahuan mengenai peranan tentera dalam aspek keselamatan.

– – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This